Powered by Blogger.

Sunday, February 12, 2012

Guru & Dua Pelajar Antara 6 Ditahan Berhibur di Pusat Karaoke Haram

  NR       Sunday, February 12, 2012

BACHOK 11 Feb. - Tindakan polis menyerbu sebuah resort yang diubah suai menjadi pusat karaoke haram di Perupok di sini tidak sampai sebulan lalu, masih belum memberi pengajaran kepada pemiliknya apabila masih menjalankan aktiviti tersebut.

Dalam serbuan terbaru pukul 12.10 tengah malam semalam oleh sepasukan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dengan dibantu Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok, pusat karaoke itu masih beroperasi seperti biasa.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Ab. Rahim Che Ghani berkata, enam pelanggan termasuk seorang guru dan dua pelajar yang asyik berhibur ditahan dalam operasi tersebut.

"Mereka yang ditahan termasuklah seorang guru dan dua pelajar yang mana salah seorang daripadanya penuntut di sebuah kolej manakala, yang lain merupakan nelayan dan peniaga.

"Ketika serbuan, terdapat tiga pelanggan termasuk seorang perempuan berada dalam sebuah bilik dan sedang menyanyi sementara, tiga lagi sedang berada di bahagian depan premis berkenaan dipercayai sedang menunggu giliran untuk karaoke," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Katanya, seorang warga Bangladesh berusia 22 tahun dipercayai penjaga pusat karaoke tersebut turut ditahan untuk membantu siasatan.

Ab. Rahim berkata, dalam serbuan berkenaan, pihaknya merampas 10 jenis barangan termasuk dua pembesar suara, sebuah pemprosesan pusat, sebuah televisyen dan set sistem bunyi dianggarkan bernilai RM10,000.

Katanya, siasatan mendapati pemiliknya masih berdegil menjalankan kegiatan karaoke walaupun premisnya telah diserbu pada 13 Januari lalu.

"Dalam serbuan pertama, kita merampas kesemua peralatan karaoke dalam bilik yang beroperasi sebagai pusat karaoke di premis berkenaan. Difahamkan, pemilik terbabit dikenakan denda RM2,000 manakala barangan dilupus.

"Selepas serbuan pertama, pusat karaoke ini dipercayai menjalankan operasi tidak mengikut masa ditetapkan kerana bimbang premis mereka diserbu lagi," katanya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap premis berkenaan mendapati pemiliknya tidak mempunyai lesen pihak berkuasa tempatan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan 1998.

- Utusan

logoblog

Thanks for reading Guru & Dua Pelajar Antara 6 Ditahan Berhibur di Pusat Karaoke Haram

Previous
« Prev Post

No comments: