Powered by Blogger.

Wednesday, June 27, 2012

Bangunan SK Sayed Othman Uzur & Reput Dimamah Anai-Anai

  NR       Wednesday, June 27, 2012

REPUT DAN RAPUH: Sebastian mencabut kayu lantai yang rapuh di kelas Tahun Dua Harmoni sambil diperhatikan oleh murid ketika lawatan ke SK Sayed Othman semalam.

Keselamatan lebih 200 murid SK Sayed Othman diancam keadaan bangunan sekolah uzur, reput

MIRI: Keselamatan lebih 200 murid SK Sayed Othman diancam dengan keadaan bangunan sekolah yang uzur dan reput akibat dimamah anai-anai.

Sebahagian lantai sekolah kayu yang menempatkan murid Tahun Satu dan Tahun Dua juga berlubang dan dalam keadaan rapuh. Serangga perosak itu turut merosak-kan din-ding bilik guru dan guru besar, kawasan sinki guru, pusat sumber, pustaka dan bilik prasekolah.

Siling di blok konkrit juga kerap rosak walaupun usaha membaik pulih dilakukan oleh guru, ibu bapa dan Jabatan Pelajaran.

“Cara terbaik untuk mengatasi sepenuhnya masalah ini ialah dengan membina semula sekolah ini dengan sebuah blok baharu,” tegas Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sayed Othman Salleh Alision.

Salleh berkata, usaha membaik pulih seperti menukar lantai, siling atau dinding baharu hanya bersifat sementara dan membazir.

Menyifatkan anai-anai sebagai musuh nombor satu sekolah itu, Salleh berkata, bangunan sekolah yang uzur akan terus rosak oleh serangga berkenaan.

“Kami (PIBG) telah melakukan pelbagai usaha untuk mengatasi masalah ini seperti mengecat semula dan memperbaiki dinding yang rosak.

“Kami turut meracun anai-anai ini tetapi tidak juga berjaya (menghapus sepenuhnya),” jelasnya.
Sekolah itu yang terletak di Jalan Merpati di sini telah dibina pada 1962 dan merupakan antara sekolah tertua di sini.

Guru Besarnya Wan Aminah Wan Dahili berkata, serangan anai-anai mula serius sejak lima tahun lalu khasnya di blok kayu yang merupakan sarang serangga berkenaan.

Sekolah kayu itu mempunyai lima kelas iaitu sebuah kelas Tahun Satu dan empat kelas untuk Tahun Dua.

Sementara blok konkrit menempatkan Kelas Prasekolah, Tahun Tiga hingga Tahun Enam serta bilik guru.

Warga sekolah mengimpikan sebuah blok konkrit setinggi tiga tingkat dibina di tapak sekolah itu yang mempunyai sebanyak 24 bilik termasuk dewan di tingkat bawah.

Masalah tersebut mendapat perhatian Setiausaha Politik Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Sebastian Ting  yang melihat masalah berkenaan adalah serius dan perlu perhatian segera.
“Saya akan serahkan surat ini kepada Datuk Seri Chin (Ahli Parlimen Miri) di Kuala Lumpur di mana Datuk Seri Chin akan bentangkan di kabinet pada hari Jumaat ini,” jelasnya.

Sekolah turut meminta agar saiz papan tanda amaran murid melintas jalan diperbesarkan untuk perhatian pengguna jalan raya.

Selain itu, Majlis Bandaraya Miri diminta mengecat semula garisan bar kuning di hadapan sekolah sebagai peringatan kepada pengguna agar memperlahankan kenderaan mereka.

- UB, 26 Jun
logoblog

Thanks for reading Bangunan SK Sayed Othman Uzur & Reput Dimamah Anai-Anai

Previous
« Prev Post

No comments: