Teng (kiri) menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat kepada Chong.
KUALA LUMPUR - Seorang penuntut kolej tempatan rugi lebih RM12,000 selepas disamun dua lelaki di sebuah pusat beli-belah di ibu kota, baru-baru ini.
Mangsa dikenali sebagai Teng, 22, berkata, kejadian berlaku ketika dia ke pusat beli-belah terbabit sebelum didatangi lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Kent.
Menurutnya, dia dipaksa ke sebuah restoran makanan segera, selepas dituduh mencuri kad kredit milik lelaki itu.
“Kent memaksa saya ke premis itu kononnya untuk berbincang, walaupun saya berkali-kali memberitahu tidak mencuri kad kreditnya.
“Dia mengarahkan saya memberi maklumat peribadi kerana mahu memeriksa, sama ada saya terlibat dalam kehilangan kad kreditnya," katanya pada sidang media di Bangunan MCA, Ampang, semalam.
Teng berkata, dia memberi nombor MyKad serta nombor telefon palsu kepada Kent menyebabkan lelaki itu naik berang dan mengugut untuk mencederakannya dengan pisau.
Teng yang bimbang dicederakan terpaksa menyerahkan maklumat tersebut dan dompetnya kepada Kent.
Menurutnya, dia kemudiannya didatangi seorang lagi lelaki yang dipercayai rakan Kent dan mengarahkan untuk menyerahkan dompet dan beg sebelum dia ditinggalkan.
Katanya, keadaan restoran tersebut lengang dan dia takut untuk melarikan diri kerana lagak kedua-dua mereka seperti ahli kumpulan samseng.
“Saya hubungi bank untuk menyekat pengeluaran wang, tetapi gagal kerana mereka sudah membuat empat kali pengeluaran melibatkan RM10,000,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Brickfields.
Sementara itu, Ketua Jabatan Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, tahun lalu, sebanyak tiga laporan dibuat berhubung kes sama.
Menurutnya, mangsa akan dituduh melakukan kesalahan dan dibawa ke satu tempat untuk berbincang sebelum disamun.
“Orang ramai dinasihatkan lebih berhati-hati," katanya.
- SH
No comments:
Post a Comment