Powered by Blogger.

Monday, July 30, 2012

Tindakan Tegas Terhadap Penjawat Awam Beli Ijazah Palsu - KSN

  NR       Monday, July 30, 2012

KUALA LUMPUR – Tindakan tegas akan dikenakan terhadap penjawat awam yang didapati membeli ijazah palsu, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata polis masih menyiasat perkara itu dan akan mengambil tindakan terhadap pihak yang memilih jalan mudah tanpa perlu menghadiri kuliah, mengambil ujian dan menghantar kertas kerja untuk memperolehi ijazah.

“Setakat ini tiada kes melibatkan penjawat awam yang terlibat di dalam pembelian ijazah palsu. Jika hasil siasatan mendapati ada di antara penjawat awam yang terlibat, tindakan tegas akan diambil serta merta,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada Program Transformasi Pegawai ke Luar Negara di sini, hari ini.

Program lima hari itu dihadiri 117 penjawat awam yang bakal melanjutkan pelajaran ke beberapa universiti di luar negara dalam tempoh terdekat bagi peringkat Sarjana dan Sarjana Muda.

Sebelum ini, media melaporkan ijazah itu dikeluarkan atas nama lima universiti luar negara termasuk tiga yang disahkan tidak wujud.

Lima universiti itu ialah University Of Rockhampton (tidak wujud), Harvey International University (tidak wujud), Cannington Brook University (tidak wujud), Glastonbury University (United Kingdom) dan Charles Molnar University (Hungary).

Pada majlis yang sama, Ali turut menyampaikan sumbangan kewangan daripada sektor swasta sebanyak RM1,578 (USD500) kepada setiap penuntut yang terlibat dalam insiden kebakaran di sebuah blok pangsapuri di South Meadow Apartments, di Ames, Iowa, Amerika Syarikat, pada Ahad lepas.

“Ini merupakan susulan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyeru supaya pihak swasta mengambil bahagian di dalam aktiviti seperti ini sempena Ramadan mulia ini.

“Secara tidak langsung dapat menggandingkan pihak kerajaan serta swasta dalam menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga akan memberi bantuan kepada setiap penuntut terbabit berjumlah antara RM6,313 dan RM7,892 (USD2,000-USD2,500).

Ali berkata daripada 17 penuntut terbabit, 10 adalah penuntut tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), enam ditaja Mara manakala seorang penuntut persendirian.

“Bantuan yang sama akan diberi kepada penuntut persendirian memandangkan keluarga penuntut itu menanggung beban yang sama seperti penuntut tajaan kerajaan,” katanya.

Sejurus selepas kebakaran itu, katanya sebanyak RM13,132 (USD4160) dikumpul melalui kutipan derma Biro Agama dan Kebajikan Kedutaan Besar Malaysia, Washington, Pertubuhan Malaysian Islamic Study Group serta orang persendirian.

“Kementerian Luar Negeri bersama agensi lain sentiasa memantau keadaan penuntut-penuntut tersebut serta memberi bantuan yang diperlukan mengikut keperluan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri juga telah meminta Duta Khas ke Amerika Syarikat Datuk Seri Jamaludin Jarjis untuk menyelaras bantuan kepada penuntut terbabit.

Sementara itu, penuntut tajaan JPA Hazwan Izzuddin Hashim, 21, berasa amat bersyukur serta berterima kasih kepada pihak swasta yang tampil menghulurkan sumbangan kepada beliau dan penuntut lain.

“Syukur, ini merupakan rezeki Ramadan setelah saya menerima dugaan kerugian akibat kebakaran baru-baru ini,” kata pelajar tahun dua jurusan Kejuruteraan Mekanikal itu. – Bernama
logoblog

Thanks for reading Tindakan Tegas Terhadap Penjawat Awam Beli Ijazah Palsu - KSN

Previous
« Prev Post

No comments: