Powered by Blogger.

Tuesday, September 04, 2012

Ijazah Bukan Lagi Jaminan! Makan Gaji vs Kerja Sendiri...

  NR       Tuesday, September 04, 2012

TEMERLOH – Universiti berperanan sebagai institusi yang menyediakan ilmu pengetahuan kepada para pelajar supaya mereka boleh berdikari dengan menempatkan diri dalam pelbagai lapangan pekerjaan.

Dalam ruang pekerjaan yang semakin sempit pada hari ini, aplikasi ilmu pengetahuan amat penting bagi seorang siswazah. Mereka bukan sahaja berjuang untuk mendapatkan pekerjaan tetapi berusaha untuk membina kehidupan yang lebih baik.

Bagi memperoleh gaji bulanan yang kasar setiap bulan, siswazah hari ini bukan lagi digalakkan mengejar jawatan tinggi dalam sektor awam atau swasta sebaliknya mereka boleh memilih pilihan ketiga iaitu menjadi usahawan.

Tidak pernah mimpi miliki kesenangan

Bagi  Saharudin Ahmad, 27, memiliki segulung ijazah pada masa sekarang bukanlah jaminan utama untuknya memiliki kesenangan hidup dengan kerja makan gaji.

Sama juga seperti rakannya di universiti, tujuh tahun lalu, Saharudin Ahmad 27, tidak pernah termimpi untuk memiliki kesenangan hidup dengan mempunyai perniagaan sendiri.

Tetapi peluang hanya datang sekali, kejayaan rakan baik bapanya di Perak yang mengusahakan produk berasaskan roti menjadi inspirasi hidupnya untuk berjaya dalam bidang perusahaan makanan.

Saharudin yang memegang ijazah sains kesihatan, (pemulihan cara kerja) dari UiTM ini tekad memilih perusahaan membuat roti sebagai pilihan kerjayanya.

Menurutnya, pada usia yang begitu muda dia memiliki perniagaan sendiri malah yang lebih membuatkan dia gembira adalah dapat mengajikan enam pekerja dan bukannya bekerja makan gaji.

Kejayaan yang dinikmati sekarang bukanlah datang bergolek, ia memerlukan pengorbanan zaman remaja sehingga dia sendiri terpaksa menangguhkan majlis perkahwinannya.

“Kalau nak ikutkan, saya antara yang paling lewat mendirikan rumah tangga selepas keluar universiti, ini semua dilakukan demi memajukan jenama Laziz Bakery,” kata Pengurus Besar Edisi Unggul Sdn Bhd ini.

Bangkit perlahan-lahan

Menceritakan detik awal penglibatannya dalam perniagaan, Saharudin yang baru sebulan bergelar suami berkata, dia memulakan perniagaannya dengan modal sendiri RM20,000 sebelum membuat pinjaman RM150,000 dalam bentuk peralatan dengan SME Bank.

Menurutnya, pernah dia hampir terduduk akibat krisis kewangan sehingga bengkel membuat roti di rumahnya dekat Kampung Teluk Ira ditutup atas arahan mahkamah.

Berbekalkan keazaman tinggi, Saharudin berkata, dia kembali bangkit perlahan-lahan. Bengkel miliknya yang pada mulanya hanya menghasilkan roti semakin dikenali dengan jenama Laziz Bakery.

“Mula-mula dulu untuk habiskan bancuhan lima kilogram tepung pun terlalu sukar, tetapi kini mampu melebihi 200 kilogram tepung setiap hari, malah pada musim perayaan jumlah pengeluaran akan meningkat tiga kali ganda,” katanya.

Jenama Laziz Bakey kini dikenali

Saharudin berkata, jenama Laziz Bakey miliknya kini mampu mengeluarkan sehingga 75 jenis makanan berasaskan roti, ban, pizza dan donat dengan pemasaran dilakukan sendiri dengan bantuan keluarga dan pekerjanya.

“Kini saya mempunyai sebuah kedai di hentian Rehat dan Rawat Temerloh selain mengedarkan ke kafe Hospital Temerloh dan kedai-kedai seluruh daerah.

“Antara produk baru yang dihasilkan ialah roti kering dengan perancangan masa depan mengeluarkan produk biskut dan coklat,” katanya.

Saharudin juga membayangkan akan menjadi pengedar peralatan membuat kek dan roti yang dihasilkan secara halal oleh bumiputera sedikit masa lagi.

“Bagi saya, perniagaan berasaskan makanan adalah yang paling selamat dan mudah berjaya sebab itu saya akan terus memberi tumpuan kepadanya,” katanya.

- SH
logoblog

Thanks for reading Ijazah Bukan Lagi Jaminan! Makan Gaji vs Kerja Sendiri...

Previous
« Prev Post

No comments: