YouTube ialah laman web perkongsian video yang disukai ramai dan yang membenarkan penggunanya memuat naik, menonton, dan berkongsi klip video. Video-videonya boleh dinilai, dengan kedua-dua pemeringkatan purata serta kekerapan video itu ditonton dipaparkan.
Diasaskan pada Februari 2005 oleh tiga orang bekas pekerja PayPal, Youtube yang berpusat di San Bruno mempergunakan teknologi Adobe Flash untuk memaparkan video. Jenis kandungan laman web ini amat meluas dan merangkumi klip-klip filem, rancangan televisyen, dan video muzik, serta kandungan amatur seperti videoblog dan video ringkas yang asli. Syarikat ini yang kini menggaji 57 orang pekerja [1] dinobatkan "Rekaan Terbaik untuk Tahun 2006" oleh majalah TIME. [2] Pada Oktober 2006, Syarikat Google Inc. mengumumkan bahawa ia telah mencapai persetujuan untuk memperoleh YouTube pada harga AS$1.65 bilion dalam bentuk saham Google. Urus niaga tersebut selesai pada 13 November 2006.[3]
SEJARAH
YouTube diasaskan bersama-sama oleh Chad Hurley, Steve Chen, dan Jawed Karim yang kesemuanya merupakan pekerja perintis PayPal. [4] Sebelum PayPal, Hurley belajar reka bentuk di Universiti Indiana Pennsylvania, manakala Chen dan Karim belajar sains komputer bersama-sama di Universiti Illinois di Urbana-Champaign.[5] Nama domain "YouTube.com" diaktifkan pada 15 Februari 2005, [6] dan laman web dibangun pada bulan-bulan yang berikut. Pencipta-penciptanya memberikan orang ramai sebuah pratonton tentang laman web mereka pada Mei 2005 dan enam bulan kemudian, YouTube muncul buat pertama kali secara rasmi.
Serupa dengan banyak syarikat teknologi yang baru, YouTube bermula sebagai sebuah usaha dibiayai malaikat di sebuah pejabat yang kecil dan murah. Pada November 2005, Sequoia Capital, syarikat modal usaha niaga, melabur AS$3.5 juta; [7] selain itu, Roelof Botha, pekongsi syarikat serta bekas Ketua Pegawai Kewangan PayPal, menyertai lembaga pengarah YouTube. Pada April 2006, Sequoia melabur lagi AS$8 juta dalam syarikat itu yang telah mengalami kepopularan dan pertumbuhan yang pesat dalam hanya beberapa bulan pertama kewujudannya. [8]
Pada musim panas 2006, YouTube menjadi salah satu laman web yang paling pesat pertumbuhannya dalam Jaringan Sejagat, [9] dan ditempatkan oleh Alexa sebagai laman web yang kelima terpopular, iaitu jauh mengatasi juga pertumbuhan laman web MySpace.[10] Menurut sebuah tinjauan pada 16 Julai 2006, 100 juta klip ditonton di YouTube pada setiap hari, dengan sebanyak 65,000 video baru dimuat naik setiap 24 jam. Menurut Nielsen/NetRatings, Youtube dikunjungi oleh hampir 20 juta pengguna setiap bulan, [11] dengan sekitar 44% penontonnya merupakan wanita, dan 56% lelaki. Kumpulan yang berumur antara 12 hingga 17 tahun merupakan penontonnya yang terutama. [12] Keunggulan Youtube dalam pasaran video dalam talian adalah amat mengejutkan. Menurut laman web Hitwise.com, YouTube menguasai 64% daripada pasaran video dalam talian di United Kingdom.[13]
Pada 9 Oktober 2006, Youtube mengumumkan bahawa ia akan diperoleh oleh Google pada harga AS$1.65 bilion dalam bentuk saham. Perjanjian pembelian antara Google dan YouTube datang selepas YouTube memeterai tiga buah perjanjian dengan syarikat-syarikat media dalam satu percubaan untuk mengelakkan tuntutan-tuntutan mahkamah terhadap pelanggaran hak cipta. YouTube akan terus beroperasi secara bebas, dan kesemua pekerja syarikat serta pengasas-pengasas bersamanya akan terus bekerja di dalam syarikat. [14] Urus niaga untuk memperoleh YouTube selesai pada 13 November, dan merupakan pembelian Google yang terbesar setakat ini. [15]
Pada November 2008, YouTube mencapai persetujuan dengan MGM, Lions Gate Entertainment dan CBS yang membolehkan ketiga-tiga syarikat tersebut memuatkan filem-filem dan rancangan televisyen sepenuhnya di laman YouTube, asalkan disertakan iklan, sebagai langkah menyaingi laman-laman video lain seperti Hulu, yang memaparkan bahan-bahan terbitan NBC, Fox, dan Disney.[16][17]
No comments:
Post a Comment