SK St. Joseph Miri bakal berpindah
MIRI 12 Sept. - Penempatan semula Sekolah Kebangsaan (SK) St. Joseph Miri ke sebuah tapak baru di Lopeng dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas pusat bandar Miri.Kesesakan teruk yang berlaku di jalan utama berhampiran sekolah berkenaan sekarang menimbulkan kerunsingan di kalangan pengguna jalan raya terutama ketika waktu puncak semasa sesi persekolahan.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam berkata, cadangan untuk menempatkan semula sekolah mubaligh Kristian itu mendapat kelulusan Kementerian Pelajaran.
Selain itu, katanya, tapak baru untuk sekolah berkenaan juga diluluskan Jabatan Tanah dan Survei.
"Cadangan menempatkan semula SK St. Joseph ke tapak baru di kawasan Lopeng telah diluluskan Kementerian Pelajaran.
"Tapak barunya pula mendapat kelulusan Jabatan Tanah dan Survei," katanya ketika ditemui semasa mengadakan kunjungan hari raya ke rumah beberapa wakil rakyat dan ketua kaum di sini, semalam.
Hadir sama Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui; Menteri Muda Komunikasi Sarawak, Datuk Lee Kim Shin; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri, Lawrence Lai dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Andy Chia Chu Fatt.
Dalam pada itu, Hong Nam berkata, pembinaan sekolah baru terbabit dijangka menelan kos RM18 juta dan pihaknya berusaha mencari dana untuk mengisi tabung projek tersebut.
Katanya, projek itu nanti akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat bergantung kepada dana diperoleh kelak.
"Lebih cepat kita mendapat dana, kerja pembinaan bangunan sekolah berkenaan nanti dapat dipercepatkan," katanya.
SK St. Joseph yang dibina pada 1932 akan dipindahkan ke sebuah tapak baru seluas 3.4 hektar di kawasan Lopeng iaitu berdepan dengan Hospital Miri.
Bangunan baru sekolah itu nanti merupakan sebuah bangunan tiga tingkat dan mempunyai 48 bilik darjah.
Selain bilik darjah, sekolah itu nanti turut mempunyai beberapa blok lain yang menempatkan dewan serbaguna, kelas multimedia, klinik pergigian, bilik mesyuarat dan juga pejabat pentadbiran.
Antara lain keputusan untuk menempatkan semula sekolah berkenaan ke tapak baru adalah disebabkan ia tidak mempunyai taman permainan dan padang serbaguna untuk melakukan aktiviti luar bilik darjah selain sempit untuk menampung jumlah pelajar yang kian bertambah ketika ini.
Sumber : Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment