PUTRAJAYA 20 Dis. – Seramai 330 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2009 menerima bantuan kewangan dan geran akademik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM16 juta.
Surat tawaran itu disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada satu majlis di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merangkap Menteri Pelajaran.
Bantuan dan geran itu ditawarkan buat julung kalinya, hasil kerjasama Kementerian Pelajaran, JPA dan 1MDB.
Seramai 300 pelajar cemerlang SPM, yang menerima bantuan kewangan 1MDB, dipilih berdasarkan kriteria memperoleh minimum 10A serta berdasarkan taraf pendapatan keluarga ibu bapa mereka.
Para pelajar berkenaan akan menerima bantuan di antara RM7,500 hingga RM15,000 setiap tahun bagi sepanjang tempoh pengajian mengikut institusi pendidikan serta kursus yang dipilih. – Bernama
No comments:
Post a Comment