Powered by Blogger.

Saturday, December 04, 2010

Putrajaya buka dana RM2.68 bilion biaya ijazah lanjutan

  NR       Saturday, December 04, 2010

December 01, 2010
PUTRAJAYA, 1 Dis — Permohonan pembiayaan bagi pengajian ijazah lanjutan yang keseluruhannya bernilai RM2.68 bilion, seperti yang diumumkan dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), dibuka mulai hari ini, sebagai salah satu usaha kerajaan melahirkan modal insan dengan tahap pengetahuan yang tinggi.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata peruntukan pembiayaan itu akan disalurkan melalui empat program iaitu Program Pembiayaan Pengajian Ijazah Sarjana Dalam Negara (MyMaster), Program Pembiayaan Pengajian Ijazah Kedoktoran Dalam Negara (MyPhD), Program PhD Industri dan Program Skim Latihan Akademik Institusi Pengajian Tinggi Awam (SLAI).
“Di bawah RMK-10, kita mensasarkan untuk mengeluarkan seramai 24,300 pemegang ijazah kedoktoran (PhD) dan 40,000 pemegang ijazah. Pada masa ini jumlah pemegang PhD di negara ini adalah seramai 12,096 orang manakala enrolmen pengajian untuk mendapatkan PhD seramai 16,947 orang,” katanya kepada pemberita selepas majlis pra-pelancaran program itu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohamed Khaled berkata pembiayaan itu akan menjadi penentu kepada kejayaan program MyBrain15 iaitu untuk menghasilkan 48,000 pemegang PhD menjelang 2020, dan 60,000 pemegang PhD menjelang 2023 atau dalam RMK-12.

Beliau berkata kekuatan MyBrain15 adalah ia tidak tertumpu kepada penyertaan staf akademik di institusi pengajian tinggi semata-mata, sebaliknya turut menarik penglibatan orang awam yang ingin menyambung pengajian di peringkat pascasiswazah khususnya PhD.

“Selain itu kita berharap melalui pelaksanaan MyMaster dan MyPhD ini juga, ia akan dapat merealisasikan hasrat Malaysia menjadi hab inovasi apabila penyelidikan mahupun kajian dilakukan dan berpusat di institusi pengajian tinggi tempatan dan bukan lagi di luar negara.
“Ini pastinya akan dapat memfokuskan penyelidikan bersifat asli sekali gus mengupayakan lagi potensi inovasi di negara,” katanya. — Bernama

logoblog

Thanks for reading Putrajaya buka dana RM2.68 bilion biaya ijazah lanjutan

Previous
« Prev Post

No comments: