Powered by Blogger.

Tuesday, April 19, 2011

Pendekatan holistik tambah pelajar di UPMKB

  NR       Tuesday, April 19, 2011


Tingkat usaha, kaji semula struktur untuk menjamin penghasilan modal insan mencukupi: Khaled
BINTULU: Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) yang kini mempunyai kira-kira 1,700 pelajar harus mengkaji semula struktur organisasi dan mengguna pakai pendekatan holistik untuk menangani kemasukan pelajar yang agak rendah ke universiti itu.
Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kemasukan lebih ramai pelajar ke UPMKB mampu menampung keperluan negara untuk mengisi kekosongan pasaran kerja dalam industri berkaitan pertanian, industri asas tani dan pengeluaran makanan.
“Sebagai salah sebuah universiti awam yang berkait rapat dengan industri pertanian dan makanan, UPMKB harus meningkatkan usaha bagi menjamin penghasilan modal insan yang mencukupi untuk memenuhi keperluan dan cabaran kemungkinan kekurangan bekalan makanan pada masa hadapan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Program Persediaan Diploma (PDP) di Dewan Sri Kenyalang UPMKB petang kelmarin.
Khaled berkata, situasi permintaan bekalan makanan yang tinggi tidak hanya akan dihadapi oleh Malaysia, malah negara-negara lain di dunia ekoran pelbagai faktor termasuk perubahan iklim.
Justeru, katanya, UPMKB seharusnya memiliki kira-kira 5,000 pelajar untuk memenuhi jumlah optimum kemasukan pelajar, sekali gus membantu melahirkan petani moden yang profesional dalam industri berkaitan.
Beliau berkata, PDP yang diperkenalkan oleh UPMKB adalah salah satu strategi untuk meningkatkan kapasitinya bagi menarik lebih ramai pelajar khususnya dari Sarawak agar mengikuti program pengajian yang ditawarkan oleh universiti itu.
“PDP juga bertujuan memperluaskan akses bagi rakyat Sarawak terutama rakyat tempatan supaya berminat dalam program pertanian,” jelasnya.
“Kumpulan sasaran ialah mahasiswa yang berasal dari keluarga miskin dan mereka yang ketinggalan dalam sosioekonomi. Kami ingin memberikan peluang kepada rakyat Sarawak agar merebut peluang itu.”
Beliau berkata, pendaftaran pertama pelajar di UPMKB tahun ini melibatkan kira-kira 80 orang dengan kurang 10 peratus daripadanya adalah pelajar tempatan.
“Sebahagian besar pelajar adalah berasal dari Semenanjung,” katanya sambil berharap penduduk tempatan tidak mempersia-siakan peluang untuk meningkatkan taraf hidup selari dengan rancangan pembangunan negara.
Katanya, ia selaras dengan pembangunan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang mengenal pasti pertanian dan penternakan sebagai industri utama bagi 10 industri besar yang bakal dibangunkan serta menawarkan 1.5 juta peluang kerja.
“Di bawah Aktiviti Ekonomi Utama Nasional (NKEA) sektor pertanian yang kerajaan tetapkan akan mampu menyumbang sekitar RM49 bilion dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta menawarkan sekitar 74,600 peluang kerja baru,” jelasnya.
Berdasarkan kajian yang dilakukan pada tahun 2010, Khaled berkata, dalam tempoh enam bulan, 66 peratus lulusan dalam ilmu pertanian sudah bekerja dengan sains pertanian perniagaan serta akuakultur masing-masing 60 dan 75 peratus.
“UPM juga perlu memperkenalkan program baru yang relevan dengan pasaran kerja, pertanian dan industri berasaskan pertanian yang mempunyai hala tuju kerja yang jelas,” katanya.
Turut hadir ialah Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip, Naib Canselor UPM yang baru Datuk Ir Dr Radin Umar Radin Sohadi dan DekanFakulti Pertanian dan Sains Makanan UPMKB Prof Dr Japar Sidik Bujang.
- UB
logoblog

Thanks for reading Pendekatan holistik tambah pelajar di UPMKB

Previous
« Prev Post

No comments: