Powered by Blogger.

Tuesday, August 09, 2011

Bekas Pengetua Sekolah, Cikgu Johara Zen berkongsi rahsia disayangi pelajar

  NR       Tuesday, August 09, 2011

JOHARA Zen atau Umi (duduk tengah) sempena persaraannya bersama ahli Alumni Teknik Matang dan Alumni Teknik Kuching di Kuching, Sarawak, baru-baru ini. - SOPI SAMAILE


KUCHING 8 Ogos - "Tidak ada apa-apa rahsia. Cuma saya menggunakan pendekatan kasih seorang ibu terhadap anak-anak ketika melaksanakan tugas sebagai Pengetua di tiga buah sekolah yang berbeza di bandar raya ini.


"Disebabkan itu juga, para pelajar memanggil saya sebagai 'Umi' dan gelaran itu masih tersemat meskipun sudah lama saya meninggalkan mereka," kata Johara Zen, bekas Pengetua Sekolah Menengah Teknik Matang; Sekolah Menengah Teknik Kuching dan Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah.

Ketika ditemui Utusan Malaysia pada Majlis Makan Malam meraikan persaraannya baru-baru ini, Johara meluahkan rasa bangga dan terharu ketika disambut oleh bekas-bekas pelajar daripada Alumni Teknik Matang dan Alumni Teknik Kuching yang masih mesra dengannya.

Terdahulu, malam sebelumnya, Johara turut diraikan oleh para pelajar dan guru dari Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah.

Ketika melangkah masuk ke majlis berkenaan, panggilan nama Umi sentiasa disebut oleh setiap yang hadir, bahkan mereka tidak melepaskan peluang bersalaman sambil mencium tangan dan tidak kurang juga bagi bekas pelajar wanita yang memeluk Pengetua tersebut.

Johara, 58, yang mengambil cuti awal persaraan pada 23 Julai lalu akan bersara sepenuhnya pada 17 Ogos nanti.
''Saya begitu terharu pada malam ini dan bangga sekali apabila mengetahui bekas pelajar ini masing-masingnya memiliki keyakinan serta kepimpinan sehingga mampu menubuhkan alumni, tahniah saya ucapkan.

''Saya berharap dengan adanya penubuhan alumni seumpama ini, bekas pelajar ini mempunyai organisasi yang boleh dijadikan platform kepada mereka untuk menjalankan aktiviti yang berfaedah serta tersusun selain memiliki dana sendiri," katanya di sini baru-baru ini.

Johara memberitahu, sememangnya dia tidak mempunyai rahsia dalam hubungan akrabnya dengan para pelajar kecuali sifat kasih sayang umpama seorang ibu yang mahu anak-anaknya berjaya pada masa akan datang selepas keluar dari alam persekolahan.

Katanya, dia menggunakan konsep yang berbeza pada setiap sekolah dalam usaha melahirkan perasaan kasih sayang dan cintakan sekolah di dalam diri setiap pelajar.

''Konsep 'Sayang' digunakan semasa menjadi Pengetua selama lapan tahun di Sekolah Teknik Matang memandangkan para pelajarnya lebih ramai manakala konsep 'Mutiara', saya aplikasi di Sekolah Menengah Teknik Kuching ekoran para pelajar yang sederhana ketika bertugas selama setahun setengah di situ.

''Berbeza dengan Kolej Datu Patinggi Abang Haji Abdillah, saya telah menggunakan konsep 'Permata' bagi menggambarkan para pelajar ini ketika bertugas di sekolah berkenaan," ujarnya.

Pendekatan kasih sayang itu ternyata berhasil apabila bekas pelajar di bawah didikan Johara masih mengekalkan sikap saling menghormati dan menghargai jasa warga pendidiknya meskipun sudah lama membawa haluan masing-masing sejak menamatkan alam persekolahan.

Hanya satu pesan Johara kepada pelajarnya, waima sudah berjaya dalam bidang masing-masing, mereka diingatkan supaya tidak lupa akan asal usul serta jati diri.

Terdahulu dalam ucapannya pada majlis berkenaan, Johara berkata, meskipun tidak lagi menjadi Pengetua, beliau berharap boleh menjadi kawan kepada bekas pelajarnya supaya hubungan kasih sayang itu tidak terputus begitu sahaja.

''Saya mempunyai banyak permintaan untuk menjadi rakan di dalam laman sosial Facebook hingga
 melebihi 600 orang kesemuanya yang masih lagi belum diterima masuk oleh kerana sebelum ini agak sibuk dengan tugas di sekolah.

''Maka, selepas ini setelah bersara, saya mempunyai masa yang terluang untuk melayari Facebook dan melihat permintaan-permintaan untuk menjadi rakan itu dan kita boleh berhubung di laman berkenaan sebagai kawan," katanya yang berangkat menunaikan umrah pada 26 Julai lalu.

Pada akhirnya, Johara melahirkan penghargaan kepada bekas pelajar bagi kedua-dua alumni tersebut yang meraikan persaraannya dengan sebuah majlis sederhana tetapi meriah yang disifatkannya sebagai nostalgia yang tidak boleh dilupakan.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading Bekas Pengetua Sekolah, Cikgu Johara Zen berkongsi rahsia disayangi pelajar

Previous
« Prev Post

No comments: