Sambil meluahkan rasa dukacita terhadap pentadbiran sekolah terbabit yang menyekat hak tiga murid berkenaan untuk menduduki UPSR, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran berkata setiap pelajar yang mendaftar untuk mengambil peperiksaan awam dalam Kementerian Pelajaran mesti diberikan peluang untuk menduduki peperiksaan itu.
"Biasanya ia mengambil masa empat minggu daripada tarikh keputusan saya untuk murid berkenaan menduduki peperiksaan itu," katanya selepas majlis Ramah Mesra dan Jamuan Rakyat Aidilfitri di Padang Merdeka, Sura, di sini, hari ini yang dihadiri lebih 15,000 penduduk setempat.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said; Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Datuk Za'abar Mohd Adib; Ahli Parlimen Dungun, Matulidi Jusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Datuk Seri Ismail Sabri
Muhyiddin berkata, LPM akan mengolah soalan peperiksaan itu supaya ia setara dengan kertas peperiksaan UPSR yang baru selesai diduduki calon pada 15 September lalu.
Timbalan Perdana Menteri turut mengingatkan pentadbir sekolah supaya tidak terlalu ghairah untuk mencapai kecemerlangan sekolah, hingga bertindak di luar perkara yang sepatutnya.
"Dalam hal ini, pihak sekolah mungkin bimbang kalau murid itu menduduki UPSR, ia akan menurunkan paras kecemerlangan sekolah. Tetapi ini hak pelajar (menduduki peperiksaan awam). Ibu bapa pun berhak tahu tahap pencapaian anak mereka.
"Walaupun kita ada buat tawaran baru yang diberikan Kementerian Pelajaran di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), jangan sampai ke peringkat hak dan keupayaan murid untuk mengambil peperiksaan awam dihalang," katanya sambil meminta maaf kepada ibu bapa murid berkenaan.
Muhyiddin berkata, beliau juga telah mengarahkan Ketua Pengarah Pelajaran untuk melakukan siasatan mendalam dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pentadbir sekolah yang terbabit terutama guru besar.
Akhbar hari ini melaporkan, tiga murid SK Bandar Bintangor dikurung di dalam bilik pemulihan sekolah ketika rakan lain menduduki peperiksaan berkenaan pada 13 dan 14 September lalu dipercayai kerana bimbang murid berkenaan yang lemah akan menjejaskan pencapaian sekolah.
Ketiga-tiga murid lelaki terbabit, Idie Ganyol, Edward Ujoh Augustine dan Richmend Mangi hanya dibenarkan menduduki peperiksaan pada 15 September, iaitu pada hari terakhir UPSR, selepas ibu bapa mereka membuat aduan kepada polis.
- BH

No comments:
Post a Comment