KUCHING: Kerajaan negeri membantu golongan lepasan siswazah dengan menawarkan peluang pekerjaan di Samalaju dalam bidang kemahiran selari dengan objektif untuk mendapatkan 1.3 juta pekerja mahir di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) pada 2013.
Seramai lebih 100 siswazah daripada pelbagai institusi pengajian tinggi seluruh negara menghadiri temu duga terbuka di Dewan Undangan Negeri (DUN) baru semalam.
Bagaimanapun, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Ose Murang dalam ucapannya mahu siswazah sentiasa berfikiran positif, idealis dan menambah kemahiran untuk mempertingkatkan keupayaan diri.
“Jangan kecewa jika anda tidak ditawarkan pekerjaan oleh mana-mana badan korporat di sini tetapi harus berfikiran positif kerana anda adalah yang terbaik kerana sudah dapat ke sini untuk menghadiri temu duga,” katanya.
Antara agensi yang terlibat dalam menjalankan temu duga terbabit termasuk Three Gorges Sdn Bhd, Tokuyama Development Sdn Bhd, Chiyoda Sdn Bhd dan Sarawak Energy Berhad (SEB).
Menyahut cabaran beliau, Nadhir Ahmad Tarmuzi, 24, berkeyakinan penuh untuk turut menghadiri majlis temu duga terbabit selepas dua minggu dihubungi oleh Pusat Maklumat CBJ.
Beliau yang baru saja tamat pengajian pada September lalu dalam bidang kejuteraan awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memberitahu telah 85 peratus bersedia.
Manakala graduan daripada insitusi yang sama, Abang Nuradzizi Abang Bolhi, 24, dari fakulti yang sama menceritakan peluang bekerja bersama syarikat asing mampu memberi pengalaman berbeza jika pandai dimanfaatkan.
“Saya sudah 70 peratus bersedia untuk sesi temu duga lagipun banyak juga kerja rumah yang telah saya lakukan terhadap beberapa syarikat berkenaan,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.
Terdapat lebih kurang 400 kekosongan di keempat-empat insitusi itu untuk diisi.
Beliau turut meluahkan rasa terharu terhadap beberapa siswazah yang berani menyuarakan kemahuan masing-masing dan sehingga semalam hanya lima orang sahaja siswazah yang tamat pengajian pada 2008, 2009 dan 2010 berhasrat untuk mencuba nasib mendapatkan pekerjaan tetap.
Program terbabit dijalankan sejak Jun 2009 dan akan dilanjutkan sehingga Jun 2013.
- UB
No comments:
Post a Comment