MOHAMED Nazri Abdul Aziz (tengah) bersama Lodin Wok Kamarudin (dua, kiri), Abu Bakar Abdullah (tiga, kiri), G. Palanivel dan S. Subramaniam bergambar dengan penerima Geran Akademik 1MDB, di Kuala Lumpur semalam.
KUALA LUMPUR 4 Okt. - Seramai 600 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 hari ini menerima Geran Akademik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM32 juta untuk tempoh empat tahun pengajian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, program kali kedua itu merupakan bantuan kewangan untuk pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan diimbangkan dengan meritokrasi khasnya mereka yang akan melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dalam negara di peringkat ijazah pertama.
"Ia merupakan usaha kerajaan untuk membantu pelajar cemerlang melanjutkan pengajian dan kita harap mereka akan menggunakan kesempatan itu untuk belajar dengan baik supaya menjadi pemimpin pada masa akan datang.
"Pemberian bantuan ini juga tidak mempunyai sebarang agenda lain melainkan untuk membantu rakyat," katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan surat tawaran geran tersebut kepada pelajar terlibat dekat sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah; Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB, Tan Sri Lodin Wok Kamarudin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk G. Palanivel dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S. Subramaniam.
Mohamed Nazri dalam pada itu berkata, 600 pelajar yang menerima Geran Akademik 1MDB itu terdiri daripada 300 pelajar bumiputera, 150 pelajar Cina dan 150 pelajar India.
Katanya, pelajar yang melanjutkan pengajian di IPTA akan menerima bantuan tahunan sebanyak RM8,000 bagi kursus kritikal manakala RM7,500 bagi kursus bukan kritikal.
"Selain itu, pelajar di IPTS pula menerima bantuan tahunan sebanyak RM16,000 bagi kursus kritikal manakala RM10,000 untuk kursus bukan kritikal," katanya.
Sementara itu, seorang pelajar yang ditemui, Huda Mhd Asrar, 18, berkata, dia terkejut ketika menerima surat tawaran Geran Akademik 1MDB.
Kata anak keempat daripada lima beradik itu, dia gembira dan bersyukur kerana diberikan peluang untuk menerima bantuan itu yang dapat meringankan beban keluarganya.
Lim Joe Ann, 18, turut gembira menerima bantuan itu kerana ia dapat meringankan beban keluarganya dan menjadi motivasi kepada adik beradiknya yang lain untuk berjaya.
"Saya amat bersyukur dengan bantuan ini dan ia seharusnya menjadi inspirasi kepada pelajar lain bahawa kemiskinan bukanlah penghalang bagi mereka untuk berjaya," katanya.
- Utusan
No comments:
Post a Comment