KAPIT: Setelah menabur jasa selama 38 tahun kepada anak bangsa, akhirnya seorang yang bergelar pendidik, Anthony Jalin Manggie bersara wajib pada 10 Oktober 2011 setelah mencapai usia genap 58 tahun.
Sepanjang perkhidmatannya dengan Jabatan Pelajaran beliau telah ditempatkan di beberapa sekolah rendah di bahagian ini.
Pada permulaan kariernya, beliau berkhidmat sebagai guru sandaran tidak terlatih di SK Nanga Engkuah di daerah Song pada 1973 sebelum melanjutkan pengajian di Maktab Perguruan Sarawak (STTC Sibu) pada 1974 dan 1975.
Antara sekolah beliau pernah ditempatkan ialah SK Long Jawe di daerah Belaga pada 1976 selama enam tahun sebelum berpindah ke SK Sungai Amang Kapit pada 1982.
Tidak lama kemudian beliau dipindahkan ke Pejabat Pelajaran Daerah Kapit di Unit Perjawatan dan Perkhidmatan.
Bagaimanapun, pada 1985 beliau ditempatkan semula di SK Sungai Amang sehingga 1993.
Berdasarkan kepada ketekunan, kredibiliti serta kebijaksanaan beliau dalam pentadbiran, beliau diberi peluang memangku jawatan sebagai Guru Besar DGA34 di SK Lepong Gaat Baleh sehingga Mei 1998.
Pada 1998, beliau dinaikkan pangkat ke DGA32 dan berpindah ke SK Methodist Kapit sehingga Jun 2004.
Mulai Jun 2004, Anthony meneruskan kariernya sebagai seorang pendidik di SK Lepong Baleh Kapit sehingga bersara wajib pada 10 Oktober 2011.
Beliau dilahirkan pada 10 Oktober 1953 di Sungai Iran Song. Anthony telah mendapat pendidikan awal di SK Nanga Tada, Kabah Kanowit dari 1961 hingga 1965 sebelum berpindah ke SK Cardinal Vaughan pada 1966.
Beliau kemudian melanjutkan pelajaran ke peringkat sekolah menengah di SMK Kapit dari 1967 sehingga 1969 sebelum berpindah ke SMK Sibu Rural dari 1970-1971.
Sepanjang kariernya sebagai seorang pendidik, Anthony merupakan seorang kakitangan awam yang rajin, amanah dan aktif dalam pelbagai kegiatan perguruan serta kegiatan luar.
Beliau merupakan guru Sumber Kemahiran Hidup, guru Sumber Alam dan Manusia dan kakitangan penting dalam pelaksanaan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) bagi mata pelajaran Matematik (1983-1990), Guru Sumber Sains (Semakan) Kurikulum Sekolah Rendah (1994-2002) dn Jurulatih Utama Sains Rendah (English Medium/ETEMS) dari 2003 hingga 2008.
Dari segi kegiatan luar, beliau merupakan pesuruhjaya Pengakap Daerah Kapit, pernah menyertai Jamboree Pengakap di Tambunan Sabah, ahli Exco Persatuan Bulan Sabit Merah Cabang Kapit, ahli seumur hidup dan pernah menyandang jawatan presiden Kelab Lion Kapit pada 2006, ahli RELA Unit Kawasan Jalan Selirik, ahli Lembaga Pelawat Hospital Kapit, Setiausaha SADIA (1985-1994), ahli Kelab Renang Kapit, Setiausaha Persatuan Bola Sepak Bahagian Kapit (1988-2004) dn sebagai ahli Parish Council dan pengerusi ‘Ecumical Committee dan Euthristic Minister and Prayer’ Gereja Roman Katolik.
Sementara itu, sepanjang penglibatannya dalam bidang pendidikan, beliau telah menerima pelbagai anugerah.
Antaranya ialah Penghargaan Perkhidmatan Cemerlang pada 1993, Anugerah Khas Ketua Menteri untuk Guru Cemerlang Sekolah Rendah pada 1996 dan Anugerah Kebesaran Negeri Sarawak bagi Pingat Pentadbiran Awam iaitu Pingat Perkhidmatan Terpuji (PPT) yag disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada 1997.
Anthony merupakan seorang guru terbaik dan seorang pemimpin yang wajar dicontohi oleh semua guru.
Hasil sumbangan beliau dalam bidang pendidikan memang tidak dapat dipertikaikan lagi.
Ini harus dijadikan sumber inspirasi kepada semua guru agar lebih gigih lagi, tanpa mengenal erti penat untuk melahirkan generasi akan datang yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang.
- UB
No comments:
Post a Comment