JEMPOL 22 Okt. - Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) bakal menawarkan program International General Certificate of Secondary Education
(IGCSE) kepada para pelajarnya bermula tahun hadapan.
Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Ibrahim Ahmad berkata, IGCSE merupakan modul pembelajaran berstatus antarabangsa yang akan diselaraskan di MRSM terpilih bermula awal tahun depan.
Menurutnya, matlamat utama pelaksanaan program tersebut adalah bertujuan memantapkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar terutama dari luar bandar.
“Ini kerana hampir 70 peratus pelajar MRSM datang dari kawasan luar bandar. Sebanyak 90 peratus penuntut di Institut Kemahiran Mara (IKM) dan GiatMara juga datang dari kawasan luar bandar.
“Pelajar yang mengikuti IGCSE akan bermula dari tingkatan satu hingga lima dan selepas keluar dari MRSM mereka berpeluang melanjutkan pengajian di Kolej Mara atau di luar,” katanya pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Mara di Dewan MRSM Serting dekat sini hari ini.
Jelas Ibrahim, buat masa ini MRSM Pekan di Pahang menjadi perintis terhadap pelaksanaan sistem pembelajaran itu.
“Secara rasminya nanti kita akan tawarkan ia di beberapa MRSM lain seperti di Baling, Kedah; Kota Putra Besut, Terengganu dan Batu Pahat di Johor,” ujarnya.
Jelasnya, Mara juga akan menambah tiga lagi cawangan MRSM di Parit, Perak, Johor Bahru dan Sandakan, Sabah tahun depan.
“Kita juga akan tawarkan program tersebut di tiga cawangan baru ini,” katanya.
- Utusan
No comments:
Post a Comment