KUCHING: Pesta Konvokesyen Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) 2011 bakal menyaksikan institusi pengajian tinggi itu melakarkan sejarahnya dalam Malaysia Book of Records menerusi aktiviti 88 jam pantun tanpa henti ‘88@Pantun.unimas.my’.
Naib Cancelornya Prof Datuk Dr Khairuddin Ab Hamid berkata, aktiviti itu akan diadakan seawal jam 6 pagi bermula dari 20 hingga 22 Oktober ini.
“Saya berharap para pelajar akan memberikan kerjasama untuk merealisasikan sasaran ini agar dapat disenaraikan dalam Malaysia Book of Records,” katanya berucap sempena majlis perasmian Pesta Konvokesyen UNIMAS 2011 malam kelmarin yang disempurnakan oleh Menteri Muda Pembangunan Belia dan Menteri Muda Perumahan Abdul Karim Rahman Hamzah yang mewakili Menteri Tugas-tugas Khas Tan Sri Datuk Amar Adenan Satem.
Dalam pada itu, beliau berkata, karnival tahunan itu yang julung kalinya diadakan di Kampus Barat UNIMAS turut menyelitkan pelbagai aktiviti menarik seperti konsert bersama Bunkface, Planet Radio dengan menjemput juruhebah-juruhebah radio swasta di seluruh negara, pesta ria, pameran keilmuan, gerai jualan dan banyak lagi.
“Saya berharap kunjungan masyarakat ke UNIMAS sem-pena Pesta Konvokesyen ini akan memberi kesan positif dan motivasi khususnya kepada anak-anak muda.
“Selain itu, daripada lawatan ke kampus ini juga akan dapat menyemai cita-cita di kalangan anak-anak muda untuk menjadi sebahagian daripada pelajar UNIMAS,” kata Khairuddin.
Sementara, Adenan me-nerusi teks ucapan beliau yang dibacakan oleh Karim berkata, Pesta Konvokesyen tersebut merupakan peluang kepada masyarakat untuk membawa anak-anak ke UNIMAS sebagai langkah memotivasikan mereka agar lebih rajin dan mempu-nyai impian menjadi pelajar universiti pada suatu hari kelak.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan agar pesta tersebut tidak dilihat sebagai adat dan kebiasaan kerana penganjurannnya secara tahunan dan akhirnya terkeluar daripada prinsip dan objektif asal yang mencetuskan budaya popular yang bersifat ‘little tradition’.
Justeru, beliau berkata, penjenamaan semula berte-raskan prinsip keilmuan akan memberikan kesan positif kepada warga UNIMAS dan masyarakat adalah wajar diperkukuhkan.
“Pameran pendidikan, pesta jualan buku, bengkel keilmuan untuk masyarakat setempat adalah antara contoh yang baik manakala pelbagai gerai jualan adalah asas untuk menggalakkan budaya keusahawanan di kalangan pelajar dan masyarakat di sekitar UNIMAS.
“Sementara unsur-unsur yang bersifat kemeriahan melalui program yang lebih santai juga tidak diabaikan seperti program sukan dan kebudayaan yang dapat memberi nilai universiti sebagai pusat kebudayaan, ilmu dan pembinaan modal insan,” katanya.
Pesta Konvokesyen UNIMAS 2011 yang bermula 19 hingga 23 Oktober adalah sempena Majlis Konvokesyen UNIMAS yang akan diada-kan pada 22 dan 23 Oktober bagi menghargai bakal graduan atas kejayaan mereka selain menjalin hubungan di antara siswa UNIMAS dengan masyarakat luar.
- UB
No comments:
Post a Comment