PELAJAR Akademi TAS bergembira setelah berjaya menamatkan pengajian mereka pada majlis penyampaian sijil di Kota Kinabalu, baru-baru ini.
KOTA KINABALU 15 Nov. - Seramai 45 graduan sulung Akademi Minyak dan Gas Tun Ahmad Shah (TAS) dianugerahkan Diploma Lanjutan sempena Majlis Penyampaian Sijil Graduan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Link, di sini baru-baru ini.
Selain itu, seramai 150 graduan daripada Pusat Pembangunan Profesional UMS Link turut menerima sijil dan diploma masing-masing pada majlis tersebut.
Anugerah buat julung-julung kali ke atas dua buah pusat latihan yang dikendalikan UMS Link itu disampaikan oleh Penaung Akademi TAS, Tun Ahmad Shah Abdullah.
Turut hadir, Pengerusi Kumpulan UMS Link Holding Sdn. Bhd, Datuk K.Y Mustafa; Pengerusi UMS Link-Silverkris Sdn. Bhd., Rizal Othman dan Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Datuk Dr. Beatrice Beth Baikan.
Menurut Mustafa, kesemua 45 pelajar Akademi TAS menerima diploma lanjutan dari Business and Technician Education Council of United Kingdom yang diiktiraf di seluruh dunia.
Justeru katanya, tidak sukar untuk mereka mendapat peluang pekerjaan di mana-mana syarikat minyak dan gas seluruh dunia.
Katanya, antara bidang yang ditawarkan dalam diploma itu adalah kejuruteraan elektrik, kejuruteraan instrumen, kejuruteraan mekanikal dan kejuruteraan pengeluaran minyak dan gas.
"Malah, kalau dilihat kesemua pelajar berkenaan telah mendapat pekerjaan dalam bidang minyak dan gas di merata tempat," katanya.
- Utusan

No comments:
Post a Comment