Powered by Blogger.

Sunday, November 13, 2011

Guru Besar & Pengetua Boleh Minta Polis Iringi Wang Bantuan

  NR       Sunday, November 13, 2011

ALOR SETAR 12 Nov. - Guru besar dan pengetua sekolah boleh meminta bantuan anggota polis bagi mengiringi mereka membawa wang bantuan khas awal persekolahan yang dikeluarkan dari bank ke sekolah untuk diagihkan kepada pelajar.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, langkah itu boleh diambil jika jumlah wang bantuan khas itu dibawa dalam kuantiti yang besar memandangkan jumlah pelajar yang ramai di sesebuah sekolah.

"Jika sebuah sekolah ada 2,000 pelajar, maknanya sekolah itu akan membawa pulang wang tunai RM200,000 ke sekolah jadi kementerian telah berbincang dengan pihak polis agar mengiringi mereka ketika wang itu dibawa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Wisma Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Kedah di Jalan Pegawai, di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden NUTP, Hashim Adnan dan Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng.
Ka Siong mengulas langkah kerajaan mengagih wang bantuan khas awal persekolahan sebanyak RM100 seorang kepada 5.5 juta pelajar di seluruh negara seperti diumumkan dalam Bajet 2012 melalui akaun sekolah masing-masing.

Ka Siong berkata, para pengetua diminta mengambil langkah keselamatan yang sewajarnya dan tidak perlu berasa bimbang hendak menguruskan wang berkenaan.

Selain itu, beliau berkata, bantuan wang tersebut dijangka mula diagihkan di Sabah dan Sarawak pada minggu depan.

Utusan Malaysia Online: 13 November 2011
logoblog

Thanks for reading Guru Besar & Pengetua Boleh Minta Polis Iringi Wang Bantuan

Previous
« Prev Post

No comments: