PUTRAJAYA – Mana-mana individu yang berkemahiran dalam sesuatu bidang dan mempunyai pengalaman bekerja sekurang-kurangnya tiga tahun boleh memohon untuk mendapatkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) untuk membolehkan kemahiran mereka diiktiraf.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Maznah Mazlan berkata, sijil itu boleh dipohon secara atas talian melalui laman web kementerian iaitu www.mohr.gov.my, dan mereka akan dinilai oleh 1,300 pemantau terdiri daripada mereka yang pakar dalam bidang tertentu, yang dilantik kerajaan.
"Saya yakin langkah ini akan membolehkan tenaga kerja mahir negara diiktiraf,” katanya ketika merasmikan Konvokesyen Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) ke-16 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Pada majlis itu, seramai 6,835 graduan yang menamatkan pengajian di 27 ILJTM di seluruh negara menerima diploma dan sijil masing-masing. – Bernama
No comments:
Post a Comment