KUALA
TERENGGANU – Kerajaan Terengganu menyediakan peruntukan kira-kira RM10 juta
bagi menyiapkan dan menyediakan kemudahan Kem Pengakap Tengku Muhamad Ismail di
Telaga Batin di sini.
Menteri
Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata pelbagai kemudahan disediakan di
kem itu untuk program pengakap yang akan diadakan dari semasa ke semasa.
“Kita
akan lihat kemudahan-kemudahan lain yang perlu ditambah dari semasa ke semasa
bagi keselesaan pengakap mengadakan perhimpunan di kem itu,” katanya pada
majlis Jamuan Negeri sempena Jambori Malaysia ke-12 dan Jambori Pengakap
Antarabangsa Terengganu di sini malam Selasa.
Jambori
itu yang dirasmikan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin Jumaat
lepas, menyaksikan 21 buah negara mengambil bahagian melibatkan 10,800 peserta.
Kem
Pengakap Tengku Muhammad Ismail di Telaga Batin itu memiliki kemudahan lengkap
dan terbaik dengan 65 buah bilik biasa dan 24 bilik tetamu kehormat serta
mempunyai kawasan lapang untuk perkhemahan.
Sementara
itu Bendahari Kehormat Majlis Pengakap Negeri Terengganu Tengku Ahmad Shabirin
Awalludin ketika ditemui pada majlis itu berkata syarikat pengedar kenderaan
mewah BMW, Quil Automobiles Sdn Bhd telah menaja 60 buah kereta BMW serta wang
tunai RM50,000 untuk jambori itu.
Katanya
Kementerian Kewangan Malaysia telah meluluskan penajaan kereta berkenaan pada
16 Nov lepas untuk digunakan sepanjang jambori itu berlangsung.
Tengku
Ahmad Shabirin berkata sebuah lagi syarikat iaitu Nexedge Technology Sdn Bhd
pengedar rasmi perlatan telekomunikasi jenama Kenwood telah menyumbangkan
peralatan Radio Telekomunikasi Kenwood bernilai RM50,000.
Beliau
berkata semua sumbangan telah disampaikan kepada Ahmad untuk kegunaan
penganjuran jambori yang bermula pada 17 Nov hingga Jumaat ini. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment