NORPIPAH Abdol (empat dari kiri) meraikan bayi yang baru dilahirkan di Hospital Melaka semalam.
MELAKA 27
Nov. - Seorang penghuni Sekolah Harapan di Jasin turut melahirkan seorang bayi
lelaki sempena sambutan tahun baru Maal Hijrah 1433 di Hospital Melaka (HM)
malam tadi.
Remaja berusia 18 tahun itu selamat melahirkan bayi lelaki seberat
2.3 kilogram melalui kaedah vakum di hospital berkenaan kira-kira pukul 10.09
malam tadi.
Pengerusi Sekolah Harapan, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim (gambar) berkata,
pihaknya bersyukur kerana remaja perempuan terbabit telah selamat melahirkan
anak walaupun pada awalnya, remaja itu mengalami kesukaran melahirkan bayinya.
‘‘Walaupun sukar pada peringkat permulaannya sehingga terpaksa
menggunakan kaedah vakum namun akhirnya bayi selamat dilahirkan dan ibunya juga
kini dalam keadaan sihat,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Penubuhan Sekolah Harapan sejak September tahun lalu itu bertujuan
untuk memberi perlindungan kepada remaja hamil selain menangani gejala buang
bayi yang semakin berleluasa.
Sekolah terbabit menyediakan sesi pembelajaran pelajar dari
tingkatan satu hingga lima termasuk mereka yang akan menduduki Penilaian
Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Kata Ab. Rahaman, semoga dengan kelahiran bayi tersebut akan
memberi kehidupan baru yang lebih baik untuk remaja perempuan terbabit dan
seterusnya menjamin kesejahteraan hidupnya pada masa depan.
‘‘Saya amat berharap agar remaja perempuan itu dapat melihat
kelahiran bayinya pada sambutan Maal Hijrah tahun ini satu anugerah yang amat
bernilai dan dijadikan pegangan hidup untuk menjalani kehidupan lebih baik,”
katanya.
Ujar beliau, kini terpulang kepada remaja terbabit untuk membuat
keputusan sama ada terus menetap di Sekolah Harapan atau tinggal bersama
keluarganya setelah remaja itu keluar daripada HM nanti.
- Utusan
No comments:
Post a Comment