Powered by Blogger.

Sunday, November 20, 2011

Remaja Lelaki 15 Tahun Diculik 7 Hari Ditemui Lemah & Diikat di Stesen Keretapi

  NR       Sunday, November 20, 2011

SHAH ALAM: Seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun ditemui lemah tidak bermaya dengan mata, mulut, tangan dan kaki diikat di Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM), Padang, Jawa, di sini, kelmarin. 

Mangsa yang ditemui jam 10.30 pagi oleh seorang lelaki yang membuka ikatan dan memberi wang kepada mangsa untuk menghubungi keluarganya, mendakwa diculik selama tujuh hari iaitu pada petang 10 November lalu.
Mangsa memberitahu, dia dilarikan tiga lelaki berusia lingkungan 30-an ketika dalam perjalanan ke kedai berhampiran rumahnya di Padang Jawa, jam 2.45 petang pada hari kejadian.
“Ketika hendak memasuki kedai, saya dihampiri tiga lelaki yang menarik dan memaksa saya masuk ke dalam kenderaan pacuan empat roda. Saya cuba melawan tetapi mereka paksa saya masuk ke dalam kende-raan itu. 

“Di dalam kereta, saya terus diikat mata, mulut, tangan dan kaki oleh ketiga-tiga lelaki terbabit,” katanya di sini, semalam. 

Mangsa mendakwa, selepas dua jam dibawa menaiki kenderaan terbabit, dia tiba di suatu lokasi yang tidak diketahui. 


“Sepanjang ditahan, saya cuma diberi air. Malah, saya dipukul beberapa kali di belakang badan dan lengan kanan. 
“Pada suatu hari, penculik memukul dengan sebatang kayu tanpa sebab dan saya hanya mampu menahan kesakitan,” katanya yang mendakwa cedera di belakang tengkuk, bahu dan lengan kanannya. 


Mangsa mendakwa, dia pernah menghubungi ibu bapa ketika ditahan tetapi gagal kerana telefon bimbitnya kehabisan bateri. 

Sementara itu, bapa mangsa yang bekerja sebagai pemandu lori, menyedari kehilangan anaknya pada jam 7 malam pada hari kejadian. 

Bapa mangsa itu mendakwa, beliau melaporkan kehilangan anak lelakinya di Balai Polis Seksyen 15 pada jam 12.40 malam hari sama. 


Sementara itu, jurucakap polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dari bapa mangsa. 

- BH
logoblog

Thanks for reading Remaja Lelaki 15 Tahun Diculik 7 Hari Ditemui Lemah & Diikat di Stesen Keretapi

Previous
« Prev Post

No comments: