Powered by Blogger.

Friday, December 23, 2011

39% @ 500 Sekolah di Sabah Alami Kerosakan Infrastruktur

  NR       Friday, December 23, 2011

KOTA KINABALU: Kira-kira 500 sekolah atau 39 peratus daripada 1,283 sekolah rendah dan menengah di Sabah masih berkeadaan daif dengan kebanyakannya mengalami kerosakan infrastruktur berikutan lama tidak dibaiki, termasuk ada antaranya tidak selamat diduduki. 

Mendedahkannya, di sini, baru-baru ini, Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Datuk Dr Muhiddin Yusin, berkata sekolah terbabit kebanyakannya terletak di kawasan luar bandar dan terpencil, namun sebahagiannya turut dikesan berdekatan bandar dan pekan.



Katanya, kedaifan sekolah terbabit berpunca daripada ketiadaan peruntukan mencukupi untuk membiayai kerja pembaikan dan penyelenggaraan berikutan bilangan sekolah yang banyak, selain permohonan mengambil masa lama diluluskan.
Bagaimanapun, beliau berkata, masalah dihadapi sekolah terbabit sudah dikumpul dan dibincangkan dengan Kementerian Pelajaran pada Mac lalu. 

“Kita bersyukur kerana hasil perbincangan dengan kementerian, usaha menaik taraf dan membaiki infrastruktur sekolah daif di seluruh negeri mendapat perhatian yang sewajarnya. 

“Kini, bilangan itu berkurangan sedikit demi sedikit dan kita berharap semua sekolah daif dapat dibaiki pada tahun depan supaya murid dan pelajar di sekolah terbabit dapat belajar dengan selesa,” katanya ketika diminta mengulas mengenai masalah sekolah daif di negeri ini. 

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan sebahagian besar daripada peruntukan RM500 juta yang diberikan kepada Kementerian Pelajaran dalam Belanjawan 2012 akan digunakan untuk membaiki infrastruktur sekolah daif di seluruh negara. 

Sementara itu, Timbalan Exco Pelajaran negeri, Datuk Bolkiah Ismail, berkata ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terpaksa menggunakan peruntukan ADUN untuk membantu sekolah daif kerana kasihan melihat keadaan infrastruktur sekolah yang tidak menyelesakan. 

“Walaupun pengagihan peruntukan ADUN sepatutnya digunakan untuk projek pembangunan yang bukan berkaitan dengan pendidikan, namun disebabkan tidak sampai hati membiarkan infrastruktur sekolah dalam keadaan daif, kita terpaksa mengagihkan sedikit peruntukan kepada sekolah. 

“Bagaimanapun, kita berharap masalah ini dapat diatasi tidak lama lagi berikutan persetujuan Kementerian Pelajaran memberi kuasa kepada Jabatan Pelajaran negeri mengurus pembaikan dan penyelenggaraan sekolah di negeri ini,” katanya. 


- BH
logoblog

Thanks for reading 39% @ 500 Sekolah di Sabah Alami Kerosakan Infrastruktur

No comments: