ALOR LINTANG – Sebanyak 53 sekolah di Besut yang mencapai kejayaan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini menerima penghargaan pada Majlis Bekwoh (kenduri) Kesyukuran Kecemerlangan UPSR Daerah Besut dan Persaraan Pegawai Pelajaran Daerah yang diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Mahmud di sini.
Program anjuran Majlis Guru Besar (MGB) Daerah Besut itu turut dihadiri Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Adun Jertih.
Pengerusi MGB Besut, Ab Rahman Sardar berkata, lebih 600 guru UPSR daerah berkenaan diraikan dalam majlis yang diadakan khusus untuk menghargai jasa dan peranan mereka.
Menurutnya, keputusan cemerlang selama lima tahun berturut-turut dalam UPSR membuktikan kerjasama yang diberikan semua pihak melonjakkan Besut di peringkat negeri dan kebangsaan.
“Tahun ini seramai 830 murid dari 53 sekolah rendah di Besut berjaya memperoleh 5A dengan SK Tengku Mahmud (SKTM) merupakan sekolah paling ramai calon mendapat 5A iaitu 87 orang.
“Pencapaian ini juga membolehkan ia muncul sebagai sekolah teramai memperoleh 5A dalam kalangan sekolah di negeri Pantai Timur dengan Gred Purata Sekolah (GPS) sebanyak 1.94,” katanya.
Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Bahasa Melayu, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) Che Soh Muda dan Pegawai Pelajaran Daerah, Baharuddin Ibrahim.
Ab Rahman berkata, beberapa sekolah lain turut memperoleh kejayaan seperti SK Kampung Raja, SK Pusat Jerteh, SK Kerandang, SK Pengkalan Nyireh, SK Kampung Baru Tok Dor, SK Amer, SK Kuala Kubang, SK Felda Selasih dan SK Seri Payong.
Sementara itu Idris berkata, usaha warga sekolah termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) membuktikan kejayaan mampu dicapai dalam bidang pendidikan.
Menurutnya, budaya kecemerlangan harus ada dan diterapkan dalam diri setiap murid serta perlu dilaksanakan secara berterusan supaya apa yang dibuat akan mencapai keputusan terbaik.
“Namun dalam pada itu saya sarankan agar murid kurang cemerlang terus dibantu dan diberi perhatian agar tidak terpinggir seterusnya mampu mencipta kecemerlangan sama dengan rakan lain,” katanya.
- SH
No comments:
Post a Comment