PUTRAJAYA
27 Dis. - Perbincangan hampir lima jam antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)
dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS)
hari ini membawa hasil apabila markah prestasi untuk kenaikan gaji dan markah
pelaksanaan Dasar Pemisah (Exit Policy) diselaraskan serta-merta dalam
mesyuarat itu.
Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berkata, JPA bersetuju untuk
menurunkan markah penilaian prestasi bagi kenaikan gaji di bawah skim Saraan
Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) daripada 75 kepada 65.
"Di bawah SBPA yang asal kalau prestasi di bawah 75 markah
maka tak ada kenaikan gaji berlaku, tetapi kita telah mengubahnya kepada 65
markah.
"Untuk pelaksanaan Dasar Pemisah pula, markah diubah
daripada 70 kepada 60. Ini bermakna penjawat awam hanya akan dimasukkan ke
dalam Dasar Pemisah kalau gagal mencapai 60 markah," katanya selepas
perbincangan itu yang melibatkan pegawai kanan JPA termasuk Ketua Pengarah
Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah.
Perbincangan tersebut turut dihadiri oleh lebih 100 Ahli Majlis
dan pemimpin CUEPACS dari seluruh negara.
Mengulas lanjut Omar berkata, JPA pada masa sama telah bersetuju
untuk mengkaji cadangan-cadangan CUEPACS yang melibatkan implikasi kewangan
atau peruntukan tambahan kerajaan.
"Perkara-perkara yang tidak melibatkan soal kewangan
seperti markah prestasi telah diputuskan dalam perbincangan hari ini. JPA
bagaimanapun memerlukan masa untuk mengkaji cadangan lain.
"Semua perkara yang dibangkitkan akan dikaji dalam tempoh
tiga bulan sehingga perundingan seterusnya yang dijadualkan pada hujung
Februari tahun depan, ini termasuk isu gaji maksimum dan gred jawatan yang
tertinggal," katanya.
Omar berkata, setiap gred perkhidmatan awam akan dikaji secara
teliti dan beliau meminta supaya penjawat awam mengemukakan sebarang masalah
yang timbul kepada CUEPACS untuk dibawa kepada JPA.
Beliau bagaimanapun menegaskan SBPA secara keseluruhannya adalah
baik untuk masa depan perkhidmatan awam negara.
"Tetapi SBPA mempunyai bahagian-bahagian tertentu yang
perlu dikaji semula dan ditambah baik," katanya.
- Utusan Malaysia

No comments:
Post a Comment