KOTA DAMANSARA – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Subang dengan kerjasama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) akan membuat kutipan derma untuk mendapatkan semula tanah tiga ekar milik Sekolah Rendah Jenis (Tamil) Effingham, Bandar Utama yang kini dimiliki oleh parti Kongres India Malaysia (MIC).
Ketua Cabang Subang, R.Sivarasa berkata kutipan akan dibuat bagi membayar semula premium yang telah dibayar MIC untuk mendapatkan tanah tersebut sebelum ini.
“Melalui siasatan yang telah dibuat, MIC telah membayar tidak kurang dari RM 1 juta premium untuk memiliki semula tanah sekolah itu,”katanya pada sidang media di pejabatnya, semalam.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Subang berkata , kutipan derma yang dibuat ini adalah jalan penyelesaian terakhir bagi memastikan tanah yang dimiliki oleh sekolah itu dapat dikembalikan.
“Tanah itu adalah hak sekolah dan sepatutnya ianya tidak boleh dimiliki oleh parti politik ,” katanya pihaknya yakin dan percaya rakyat Malaysia akan menyokong usaha untuk mendapatkan semual tanah itu demi pembangunan sekolah tersebut yang tergendala kerana mempunyai kawasan kecil.
Setakat ini Persatuan Kebudayaan dan Sosial Kaum India Sungai Buloh dan Biro Pendidikan PKR Pusat masing-masing menyumbang seribu ringgit dan RM15 ribu untuk program kutipan dana itu.
Sementara itu bekas murid sekolah berkenaan T.Loganathan, 44, berkata kawasan sekolah sempit dan ruang pembelajaran menjadi kurang selesa dan memerlukan bangunan tambahan.
Menurutnya, pengubahsuaian bilik guru akan dilaksanakan memandangkan ketika ini, sebanyak 34 guru terpaksa bersesak dalam bilik yang kecil.
- SH
No comments:
Post a Comment