Powered by Blogger.

Saturday, January 21, 2012

Cikgu Mohd Muda, GB SK Pagar Besi, Batu Rakit Bersara

  NR       Saturday, January 21, 2012

Mohd. Muda (dua dari kanan) bersalaman dengan murid sekolah semasa majlis meraikan persaraannya di Sekolah Kebangsaan Pagar Besi, Batu Rakit, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

KUALA TERENGGANU 20 Jan. - Meskipun adakalanya Mohd. Muda, 58, terpaksa bertugas sehingga 17 jam sehari namun kepenatan yang dialami tidak pernah menghalang beliau untuk terus menabur bakti kepada anak muridnya.

Mohd. yang baru bersara sebagai guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Pagar Besi, Batu Rakit dekat sini baru-baru ini berkata, beliau terpaksa berkerja sehingga lewat malam memandangkan banyak jawatan yang disandangnya di sekolah itu.

Katanya, sebelum menjadi guru besar, beliau mengajar di SK Kampung Tengah selama dua tahun bermula awal 1998 dengan memegang pelbagai jawatan penting seperti Setiausaha Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Penyelia Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan Guru Penyelaras Kelas Tuisyen.

"Saya masih ingat lagi waktu itu, sebaik sahaja pulang dari sekolah saya berada di rumah sekejap kerana pada pukul 3 petang saya terpaksa ke sekolah lagi untuk menyelia kelas-kelas KAFA.

"Waktu malam pula saya ke sekolah pula untuk mengendalikan kelas-kelas tuisyen dan saya tak merasa penat bekerja asalkan dapat berbakti kepada anak-anak murid walaupun terpaksa berada di sekolah sampai pukul 12 malam," katanya.

Beliau menceritakan pengalamannya ketika ditemui pada majlis meraikan persaraannya dan Kesyukuran Menduduki Bangunan Baharu SK Pagar Besi, dekat sini baru-baru ini.

Mohd. yang mempunyai empat anak itu telah berkhidmat dalam bidang perguruan selama 33 tahun 15 hari dan pernah bertugas di beberapa buah sekolah rendah sekitar Kuala Terengganu sebelum menjawat jawatan Guru Besar di SK Rhu Sepuluh, Setiu, pada 1 Ogos 2007.

Beliau berkata, pelbagai cabaran termasuk pahit ditempuhi sepanjang bertugas sebagai seorang guru.

"Namun hari ini, saya begitu terharu dan bangga kerana segala usaha dan penat saya selama ini dihargai malah diraikan majlis yang agak sederhana ini tetapi cukup bermakna dalam hidup saya.

"Saya amat teruja lebih-lebih lagi setiap murid sekolah ini yang kesemuanya berjumlah 644 orang datang bersalaman dengan saya untuk kali terakhir dan kenangan ini tak akan saya lupa sepanjang hidup," katanya.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading Cikgu Mohd Muda, GB SK Pagar Besi, Batu Rakit Bersara

Previous
« Prev Post

No comments: