KERDAU –
Dua beranak maut selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya dipercayai ketika
seorang bapa menghantar anak perempuannya ke sebuah sekolah berhampiran
kira-kira jam 8 pagi, semalam.
Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Mohd Nor Mansor berkata, mangsa yang mati
dikenali Fauzil Harun, 56,
seorang pesara dan anak perempuannya Nur
Fatihah Fauzil 10, murid
pendidikan khas orang kurang upaya (OKU) sebuah sekolah di sini.
Menurutnya, kemalangan berlaku apabila Fauzil menunggang
motosikal dari arah Temerloh ke Jerantut dan apabila tiba di simpang Kampung
Jenderak mangsa memperlahankan motosikal untuk membelok ke kanan.
“Ketika itu, datang sebuah Perodua Alza dari arah belakang
dipandu lelaki gagal mengelak lalu merempuh motosikal dinaiki kedua-dua beranak
itu mengakibatkan mereka tercampak di atas jalan bertentangan.
“Kedua-dua mangsa kemudian dirempuh pula sebuah kereta Honda
dari arah Jerantut yang dipandu seorang lelaki.
“Akibat kecederaan parah di kepala, kedua-dua mangsa
meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada media semalam.
Mohd Nor berkata, kedua-dua pemandu kereta yang terlibat
tidak mengalami sebarang kecederaan, pemandu kereta yang merempuh mangsa dari
belakang ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta
Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kemalangan maut.
Sementara itu, Mohd Nor menasihati penunggang
motosikal yang menggunakan jalan Temerloh–Jerantut supaya sentiasa berhati-hati
kerana kerap kali berlaku kemalangan maut di jalan berkenaan.
- SH
No comments:
Post a Comment