KUCHING: Kelab Rekreasi dan Sosial Saribas (SSRC) bakal menjadi persatuan pertama menganugerahkan insentif kepada keluarga yang paling ramai menghasilkan graduan universiti.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata demikian bagi mencabar masyarakat Iban Saribas agar menghasilkan lebih ramai graduan dalam keluarga masing-masing yang berkemungkinan pelaksanaannya akan dimulakan pada tahun depan.
Bagaimanapun beliau tidak mendedahkan bagaimana penilaian itu akan dibuat tetapi pelaksanaannya akan tertakluk kepada masyarakat Iban Saribas dan ahli persatuan sahaja.
“Anugerah ini perlu diberi dalam bentuk insentif berjumlah RM3,000 tempat pertama, kedua RM2,000 dan ketiga RM1,000 sebagai pembakar semangat untuk menghasilkan lebih ramai graduan dalam keluarga masing-masing,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam SSRC malam Jumaat lalu.
Beliau pada masa yang sama turut menggesa golongan belia agar menguasai bahasa ibunda (bahasa Iban) agar tidak luput ditelan zaman.
Ujarnya, tidak salah sekiranya golongan belia mempelajari bahasa Jepun atau Mandarin bagi memenuhi kriteria permintaan pekerjaan semasa namun bahasa ibunda jangan dibiarkan terkubur.
“Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Kementerian Pelajaran kerana meluluskan mata pelajaran Bahasa Iban untuk diajar di sekolah-sekolah begitu juga kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Perak kerana menawarkan kursus Bahasa Iban,” katanya.
Anugerah pelajar cemerlang peperiksaan awam tahun lalu diberikan kepada 112 penerima UPSR, PMR, SPM dan STPM.
Turut hadir Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Douglas Uggah, Menteri Muda Kebajikan Robert Lawson Chuat, Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin Snowdan Lawan dan ADUN Engkilili Dr Johnical Rayong Ngipa.
- UB, 25 Jan
No comments:
Post a Comment