KUALA TERENGGANU 5 Jan. - Institut al-Quran Terengganu (IQ) di sini, bakal dinaikkan taraf menjadi sebuah kolej universiti menjelang tahun 2015 bagi mengukuhkan peranannya.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah berkata, ia bagi melahirkan lebih ramai generasi berjiwa al-Quran pada masa depan.
"Kertas kerja mengenainya sedang disiapkan sebelum dipanjangkan kepada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) untuk mendapatkan kelulusan.
"Kita harap ia akan meletakkan IQ sebagai sebuah institusi pendidikan yang terulung," katanya kepada pemberita selepas hadir pada majlis bual bicara bersama warga IQ di Padang Midin dekat sini, hari ini.
Turut hadir sama Pengarah IQ, Dr. Ahmad Bazli Shafie.
Tambahnya, dalam usaha ke arah itu, pelan perancangan telah diatur termasuk peningkatan prasarananya bagi memberi keselesaan pembelajaran.
"Untuk itu, kita dalam proses membina penempatan tambahan untuk pelajar-pelajar yang bakal memuatkan 500 pelajar.
"Ini merupakan langkah awal untuk memenuhi permohonan kemasukan yang semakin meningkat setiap tahun," jelas beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah IQ.
Katanya, hanya seramai 56 pelajar berjaya memasuki institut berkenaan yang kini menampung 246 orang bagi mengikuti Pengajian Diploma Tahfiz wal Qiraat, Pengajian Persijilan Tahfiz wal Qiraat dan Pengajian Kuliah al-Furqan.
Jelasnya, selaras dengan hasrat itu juga, IQ bakal menawarkan tiga kursus diploma iaitu Pengajian Quran dan Qiraat, Pengajian Quran dan Hadis dan Pengajian Quran Bahasa al-Quran tidak lama lagi.
Sementara itu, Pegarahnya, Dr. Ahmad Bazli Shafie berkata, IQ yang diasaskan pada tahun 1984 telah membimbing 1,000 pelajar yang tekah memberi sumbangan kepada peningkatan syiar Islam di seluruh negara.
- Utusan
No comments:
Post a Comment