SHAH ALAM - Doktor pakar antara yang paling ramai mengadu mengenai kelemahan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA), yang diperkenalkan sejak 1 Januari lalu, kerana pendapatan mereka jauh lebih rendah berbanding doktor yang baru bertugas.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Lok Yin Theng berkata, doktor yang lama berkhidmat merasakan sumbangan mereka seolah-olah dianaktirikan kerana pendapatan diterima jauh lebih rendah berbanding mereka yang baru bertugas.
Beliau berkata, Cuepacs menerima banyak surat daripada kategori itu dan meminta pihaknya mendesak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengkaji semula perkara ini.
“Mereka (doktor pakar) mengadu kerana gaji sebulan terutama dari Gred 51 hingga 54 lebih rendah berbanding doktor yang baru bertugas, sedangkan peranannya di hospital terlalu besar.
“Doktor berkenaan bukan sahaja terkilan dengan gaji yang diterima setaraf guru-guru sekolah, malah tidak berpuas hati kerana doktor yang baru berkhidmat menerima ganjaran lebih tinggi,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Jika ini dijadikan kayu ukur dalam sistem baru itu, menurutnya, doktor pakar memerlukan jangka masa yang panjang untuk mengejar pendapatan diperoleh anggota Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa).
Malah, katanya, doktor berkenaan mempertikaikan pendapatan yang diterima pihak Jusa melebihi RM15,000 sebulan sedangkan bebanan kerja harian golongan ini setaraf guru sekolah.
Menurutnya, Cuepacs tidak mahu perkara ini terus berlarutan kerana boleh menyebabkan ketegangan berlaku di sektor awam.
“Tugas kami untuk melahirkan organisasi awam yang harmoni dan memaklumkannya dengan segera kepada Perdana Menteri untuk diambil tindakan.
“Tarikh pertemuan dengan beliau, saya tidak boleh beritahu mungkin selepas sambutan Tahun Baru Cina,” katanya.
Ditanya dakwaan SBPA telah dilaksanakan membabitkan anggota Kumpulan Premier, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan polis, Yin Theng berkata, perkara itu tidak betul dan jangan dengar khabar angin.
Menurutnya, kerajaan telah berjanji akan melihat semua tuntutan yang dibuat Cuepacs secara menyeluruh bukan untuk pihak tertentu sahaja.
Jika Cuepacs membuat tuntutan kepada bahagian tertentu, katanya, ia seolah-olah menampal baju yang koyak dan tidak memperbaiki bahagian lain.
“Matlamat kami seperti dijelaskan tadi, tidak mahu melihat jurang pendapatan yang ketara antara kelas bawahan dengan atasan. Untuk menambah baik, kami menerima pelbagai cadangan daripada golongan profesional yang mahu kerajaan mengkajinya secara mendalam.
“Mereka berpendapat, SBPA seolah-olah mengiktiraf seseorang individu sahaja sedangkan dalam organisasi kerajaan, kejayaannya kerana peranan semua pihak. Kalau orang bawah tidak buat kerja, usaha pihak atasan jadi sia-sia,” katanya.
- SH, 21 Jan 2012
No comments:
Post a Comment