Powered by Blogger.

Thursday, January 12, 2012

Sindiket Pecah Sekolah SJKC di Kluang Tumpas

  NR       Thursday, January 12, 2012

Mohd. Mokhtar memegang barang bukti dalam kes pecah sekolah di Kluang pada sidang media di IPK Johor, Johor Bahru, semalam. 

JOHOR BAHRU 11 Jan. – Polis menahan seorang lelaki yang disyaki memecah masuk sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina di Kluang pada 12 Disember lalu.

Hasil siasatan ke atas suspek berusia 30 tahun yang ditangkap berhadapan Pejabat Agama Islam Kluang itu membawa kepada penahanan empat lagi suspek berusia antara 28 hingga 31 tahun yang terlibat dalam jenayah itu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, pihaknya turut merampas tujuh unit komputer riba, dua televisyen, tiga telefon bimbit, sebuah kamus elektronik, dua beg komputer riba dan peralatan pecah masuk.

“Semakan rekod jenayah mendapati, suspek memiliki satu rekod kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952. Kesemua suspek ditahan reman sehingga hari ini dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan membawa hukuman lima tahun penjara dan denda.

“Dengan tertangkapnya kesemua suspek, polis percaya dapat menyelesaikan 32 kes pecah sekolah di Kluang dan Batu Pahat,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Dalam satu lagi kejayaan, Mohd. Mokhtar memberitahu, seorang lelaki berusia 35 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan curi dan pecah pencawang telekomunikasi di Pencawang Celcom KM41, Jalan Kota Tinggi-Mersing.

Menurutnya, turut dirampas, 24 unit bateri Radio Celcom 12V, dua pisau pemotong, ‘allen key’, pemotong besi, dua spanar boleh laras, pemutar skru, mata gergaji, kuku kambing, beg kain mengandungi kabel yang telah dipotong, empat peket plastik disyaki mengandungi heroin dan sebuah kereta Proton Iswara yang sebelum ini dilaporkan hilang di Seri Alam.

“Suspek ditahan reman bermula 7 Januari lalu sehingga hari ini. Saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin. Tangkapan membawa kepada penyelesaian 19 kes curi dan pecah masuk pencawang telekomunikasi di Kota Tinggi, Seri Alam dan kawasan Johor Bahru Selatan,” katanya lagi.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading Sindiket Pecah Sekolah SJKC di Kluang Tumpas

Previous
« Prev Post

No comments: