Powered by Blogger.

Thursday, January 05, 2012

SMK Saratok, Sekolah Terbaik PMR 2011 di Bahagian Betong

  NR       Thursday, January 05, 2012

KEBANGGAAN SEKOLAH: Sepuluh pelajar yang telah mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PMR bergambar bersama.

SARATOK:   Tahun 2011 merupakan satu lagi kenangan yang manis dan bermakna bagi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saratok apabila muncul sebagai sekolah terbaik di bahagian Betong dalam pencapaian keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011.

Dalam keputusan PMR yang telah dikeluarkan pada 22 Disember yang lepas, SMK Saratok memperolehi peratusan kelulusan sebanyak 71.2 peratus bagi keseluruhannya.

Jumlah ini membolehkan SMK Saratok berjaya mengatasi 12 sekolah menengah  lain di bahagian ini.
Pengetua SMK Saratok Alexander Joeng Rimok berkata, tahun ini merupakan kali keempat berturut-turut SMK Saratok mencatat keputusan terbaik di bahagian Betong.

“Keputusan yang paling tinggi pernah dicapai oleh SMK Saratok melalui peperiksaan PMR ialah pada 2009, di mana peratusan kelulusan pada tahun tersebut ialah sebanyak 72.4 peratus.

“Bagi tahun lepas (2011), seramai 191 calon telah menduduki peperiksaan PMR, dan daripada jumlah tersebut seramai 10 orang telah mendapat keputusan 8A dan 7A.

“Semua kejayaan ini adalah hasil kerjasama semua pihak, yang mana secara keseluruhannya segala perancangan dan program yang membabitkan aktiviti dalam dan luar kelas telah mencapai sasaran yang ditetapkan dan berjalan mengikut perancangan,” kata Alexander.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja selesai majlis bergambar bersama dengan pelajar cemerlang PMR 2011 di sekolah terbabit, semalam.

Tambahnya, komitmen daripada semua pihak seperti guru, pelajar dan para ibu bapa juga merupakan salah satu faktor yang amat penting dalam memastikan semua perkara yang telah dirancang dan disasarkan mencapat matlamat dan misi yang telah ditetapkan.

Pada masa yang sama, beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pelajar dan guru yang telah berusaha dengan gigih dalam memastikan kejayaan tersebut.

“Saya berharap pada masa akan datang, prestasi cemerlang seperti ini akan mampu kita kekal serta pertingkatkan lagi.

“Apa yang paling penting ialah usaha untuk memantapkan disiplin akan diselarikan dengan usaha ini dan dengan itu saya juga berharap agar semua pihak mampu memberi sokongan dan memberikan suntikan semangat kepada kami agar matlamat ini dapat direalisasikan dengan jayanya untuk tempoh masa mendatang,” ujarnya lagi.

- UB
logoblog

Thanks for reading SMK Saratok, Sekolah Terbaik PMR 2011 di Bahagian Betong

Previous
« Prev Post

No comments: