Dr. Muhamad Muda (depan lima dari kiri) bersama pengetua sekolah kluster dan sekolah angkat selepas majlis penyampaian watikah pelantikan di USIM, Nilai, Negeri Sembilan,baru-baru ini.
SEREMBAN 28 Feb. - Sebanyak 16 sekolah menengah terpilih menerima watikah pelantikan menjadi sekolah kluster dan angkat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nilai, dekat sini, baru-baru ini.
Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Muhamad Muda berkata, penyerahan watikah itu merupakan pengiktirafan terhadap sekolah berkenaan yang telah memberikan komitmen tinggi terhadap program anjuran universiti.
Katanya, antara tujuan utama pendekatan sebegini diwujudkan adalah untuk menjalinkan kerjasama rapat antara USIM dan pihak sekolah seperti pembangunan pelajar.
"Semua pihak harus memastikan usaha ini dapat dijalankan dengan baik ke arah memastikan ekosistem Pendidikan Islam dapat diterap kepada pelajar sekolah menengah sehingga ke universiti.
"Kita berharap kerjasama ini dapat mempromosikan universiti di samping melaksanakan kolaborasi akademik, sukan dan kebudayaan antara USIM dengan pihak sekolah," katanya.
Beliau berucap pada majlis Mesyuarat Penyelarasan Aktiviti Sekolah Kluster dan Sekolah Angkat bersama Pengetua 2012 di universiti berkenaan di Nilai, dekat sini baru-baru ini.
Sementara itu, Pengetua Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, Aminah Idris memberitahu, menerusi program itu, pelbagai aktiviti membabitkan pihak sekolah dengan universiti mampu membawa manfaat kepada pelajar.
"Antaranya penglibatan pelajar sekolah di dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) yang dianjurkan universiti itu sendiri.
"Ia dapat memberikan pendedahan secara terus kepada pelajar dalam mengadaptasi proses pembelajaran universiti dan ini sedikit sebanyak boleh dijadikan persediaan awal sebelum melangkah ke menara gading," ujarnya.
Sehingga kini, terdapat sebanyak empat sekolah kluster yang diselia oleh USIM iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Haji Mohd Said; SMKA Sharifah Rodziah; Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang dan SMKA Sultan Azlan Shah.
Sekolah kluster ini merupakan sekolah yang dipilih oleh Kementerian Pelajaran, manakala sekolah angkat USIM pula merupakan sekolah yang dilantik oleh USIM.
Antara 12 sekolah angkat yang dilantik termasuk Maktab Rendah Sains Mara Gemencheh; Maahad Ahmadi Gemencheh; Sekolah Menengah Agama Sains Kuala Pilah; Sekolah Menengah Agama Nilai; Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Sembilan (ITQAN), Sekolah Agama Menengah Sungai Merab Luar dan Sekolah Agama Menengah Bestari.
Sekolah lain adalah Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jamaah; Sekolah Agama Menengah Bandar Baru Salak Tinggi; Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Salak Tinggi; Maahad Tahfiz Pahang dan SMKA Durian Guling.
- Utusan

No comments:
Post a Comment