Sebahagian daripada kakitangan Kolej PTPL yang menghadiri majlis makan malam kolej berkenaan di Kuching, baru-baru ini.
KUCHING 28 Feb. - Seramai 84 kakitangan Kolej Pusat Teknologi dan Pengurusan Lanjutan (PTPL) Sarawak diraikan dalam satu majlis makan malam di sebuah hotel terkemuka di sini baru-baru ini.
Majlis berkenaan bagi memberi ruang kepada kakitangan untuk bersama-sama dalam suasana rasmi di luar pejabat di samping mengeratkan hubungan antara kakitangan pelbagai jabatan.
Presiden Kumpulan Kolej PTPL dan Universiti Sains dan Pengurusan (MSU), Prof. Datuk Dr. Mohd. Shukri Ab. Yajid dalam ucapan perasmian berkata, majlis itu diharap dapat memberi ruang kepada kakitangan untuk merehatkan minda dan berkenalan dengan lebih rapat.
"Kakitangan digalakkan untuk melibatkan diri dalam semua acara yang diadakan pada majlis ini supaya pihak pengurusan dapat mengenal pasti bakat-bakat lain dalam diri kakitangan yang sukar untuk menonjol sekiranya tumpuan hanya diberikan di tempat kerja.
"Saya berharap aktiviti seumpama ini diteruskan pada masa akan datang dengan penglibatan menyeluruh daripada semua jabatan yang ada di Kolej PTPL Sarawak," katanya.
Majlis itu turut dihadiri Pengetua PTPL Sarawak, Aidil Adzhar Abu Samah; Timbalan Pengetua Pentadbiran, Bebe Yanti Mohammed dan Timbalan Pengetua Akademik, Efida Nawawi.
Sebanyak 10 persembahan diadakan pada majlis makan malam itu antaranya tarian, lakonan dan nyanyian karaoke.
- Utusan

No comments:
Post a Comment