Powered by Blogger.

Wednesday, February 15, 2012

90 Murid SK Tanjung Lumpur Terima Bantuan AgroBank

  NR       Wednesday, February 15, 2012

KUANTAN 14 Feb. - Seramai 90 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Lumpur di sini menerima sumbangan peralatan persekolahan, tabung dan buku akaun simpanan Agromuda-i sumbangan AgroBank.

Sumbangan menerusi program yang dikenali sebagai Program Menyemai Kasih Agro Bank itu adalah bagi membantu golongan petani, penternak dan nelayan serta ahli keluarga mereka.

Ketua Pegawai Risiko AgroBank, Muslim Hussain berkata, sumbangan peralatan persekolahan dan buku akaun itu bertujuan menyemai sikap menabung serta rajin belajar di kalangan murid yang menerimanya.

"Program di SK Tanjung Lumpur membuktikan kepada rakyat di sini bahawa AgroBank adalah sebuah institusi kewangan yang sentiasa dekat di hati golongan sasar iaitu petani, penternak dan nelayan.

"Ia juga sebagai menyahut seruan kerajaan yang mahu syarikat-syarikat korporat melaksanakan agenda tanggungjawab sosial korporat (CSR) di kalangan masyarakat tempatan," katanya ketika berucap merasmikan program itu di sekolah berkenaan baru-baru ini.

Hadir sama Pegawai Pelajaran Daerah Kuantan, Karim Man dan Guru Besar SK Tanjung Lumpur, Azmi Yusoff.

Program Menyemai Kasih AgroBank yang berkonsepkan 1Sekolah 1Negeri itu dirasmikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif AgroBank, Wan Mohd. Fadzmi pada 18 dan 19 Januari lalu di Sabah dan Sarawak.

Program itu akan berlangsung selama dua bulan di seluruh negara. Muslim berharap program yang dilaksanakan itu akan mendapat sokongan daripada seluruh lapisan masyarakat.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading 90 Murid SK Tanjung Lumpur Terima Bantuan AgroBank

Previous
« Prev Post

No comments: