Sebahagian daripada warga kampus dan kanak-kanak tadika Kemas yang menyertai sambutan Maulidur Rasul di UMP Kampus Gambang, Kuantan, Pahang, baru-baru ini.
KUANTAN 21 Feb. - Seramai 500 pelajar dan kakitangan Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyertai perarakan sambutan Maulidur Rasul peringkat universiti di Masjid UMP Kampus Gambang dekat sini baru-baru ini.
Sebanyak 21 kontinjen mewakili jabatan dan fakulti menyertai program tersebut yang turut dimeriahkan dengan kanak-kanak daripada Tadika Kemas Taman Agropolitan Lepar.
Sambutan bertemakan Persefahaman Asas Perpaduan Ummah diketuai Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim dan turut berarak sejauh dua kilometer menuju ke Masjid UMP sambil berselawat dengan rasa penuh kecintaan terhadap junjungan agung Nabi Muhammad SAW.
Daing Nasir dalam ucapannya mengingatkan warga universiti supaya mensyukuri nikmat keamanan dan kemerdekaan di negara ini berbanding di negara lain yang diuji dengan pelbagai masalah.
"Kita harus bersyukur kerana negara kita aman tatkala saudara-saudara seagama di negara lain sedang diuji dengan ketidakstabilan ekonomi, sosial dan politik akibat peperangan, perpecahan, penindasan dan penganiayaan," katanya di sini.
Jelas beliau, kesusahan dan dugaan yang mencabar Nabi Muhammad SAW dalam peristiwa Hijrah dari Mekah ke Madinah merupakan isyarat bahawa proses transformasi yang berkesan menuntut pengorbanan yang tidak sedikit dan disiplin yang tinggi.
"Oleh itu, pengorbanan dan perjuangan warga UMP sepanjang migrasi universiti ini ke arah kegemilangan akan menjadi amat bermakna dengan adanya persefahaman untuk mengangkat agenda perdana universiti dan pelaksanaan Pelan Strategik UMP 2011-2015," katanya.
Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan hadiah dan sijil sempena pertandingan perbarisan dan sepanduk terbaik.
- Utusan

No comments:
Post a Comment