Powered by Blogger.

Wednesday, February 29, 2012

Melaka & USM Jalin Kerjasama Bangunkan Bandar Teknologi Hijau

  NR       Wednesday, February 29, 2012

GEORGE TOWN: Kerajaan negeri Melaka akan bekerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM) dalam usaha menjadikan negeri itu sebagai "Negeri Bandar Teknologi Hijau" menjelang 2020.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata dengan adanya sumbangan tenaga pakar dari USM, usaha ke arah membangunkan Melaka sebagai bandar raya lestari akan dapat dipercepatkan.

"Menerusi sumbangan tenaga pakar dari USM kita yakin dapat merangka pelan pembangunan teknologi hijau yang mantap," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Malam Pendekar di USM, di sini malam Sabtu.

Mohd Ali yang juga Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka), berkata perjanjian persefahaman antara kedua-duanya akan dimeterai dua minggu lagi.

Beliau berkata kerajaan negeri Melaka juga telah menyediakan Pelan Induk Teknologi Hijau yang menggariskan lima teras strategik untuk memandu pembangunan teknologi hijau di negeri itu.

Katanya lima teras strategik itu ialah mengukuhkan institusi berkaitan teknologi hijau; menyediakan persekitaran pembangunan teknologi hijau yang kondusif; mengukuhkan pembangunan modal insan; menggalakkan penyelidikan serta inovasi teknologi hijau; dan promosi serta kesedaran awam terhadap kepentingan teknologi hijau.

Mohd Ali berkata berpandukan teras terbabit, kerajaan Melaka giat menggerakkan program yang menekankan ciri-ciri penggunaan teknologi hijau dalam setiap pembangunan yang dilaksanakan dalam kawasan pentadbirannya.

"Ia termasuk alam sekitar, demografi, ekonomi bandar, kemudahan masyarakat, rekreasi, pengangkutan, aksesibiliti, pengurusan dan kewangan," katanya.-BERNAMA, 26 Feb
logoblog

Thanks for reading Melaka & USM Jalin Kerjasama Bangunkan Bandar Teknologi Hijau

Previous
« Prev Post

No comments: