Powered by Blogger.

Thursday, February 23, 2012

MUIP Serah Bantuan Wang Zakat Kepada 500 Pelajar Miskin di UMP

  NR       Thursday, February 23, 2012

Wan Abdul Wahid Wan Hassan (lima dari kiri) dan Dr. Daing Nasir Ibrahim (empat dari kanan) bersama lima pelajar dari keluarga miskin dan juga anak yatim pada majlis penyampaian zakat di UMP Kampus Gambang, Kuantan, Pahang, semalam.

KUANTAN 21 Feb. - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyerahkan bantuan wang zakat sebanyak RM250,000 kepada 500 pelajar miskin di Universiti Malaysia Pahang (UMP), di sini semalam.

Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, wang tersebut diharap dapat memberi manfaat kepada mereka bagi menampung keperluan pengajian atau sara hidup di samping mengurangkan beban keluarga.

"Saya mengucapkan tahniah kepada UMP kerana berusaha gigih dan begitu teliti dalam mengesan pelajar dalam menyalurkan wang zakat ini.

"Malah, pegawai dan kakitangan UMP begitu istiqamah dalam membayar zakat dan berjaya mengumpul RM416,000 pada tahun lalu sehingga menjadikannya institusi pengajian tinggi di Pahang mendapat kutipan terbesar," katanya.

Wan Abdul Wahid berkata demikian pada Majlis Penyerahan Zakat di Dewan Banquet UMP, Kampus Gambang di sini.

Hadir sama, Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim dan Pengurus Besar Pusat Kutipan Zakat Pahang, Halidan Md. Daud.

Sementara itu, menurut Daing Nasir, walaupun kebanyakan pelajar universiti menerima pembiayaan daripada pelbagai agensi termasuk Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), terdapat juga pelajar daripada keluarga miskin yang terpaksa membantu keluarga menggunakan wang tersebut.

"Senario ini amat membimbangkan pihak pengurusan universiti kerana pelajar terbabit tidak lagi mempunyai sumber kewangan lain untuk menyara kehidupan mereka di UMP.

"Justeru itu, melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, kita sentiasa memantau kebajikan mereka dari semasa ke semasa agar mereka tidak tercicir dalam pelajaran," jelasnya.

Beliau berharap bantuan itu dapat menampung keperluan pengajian pelajar selain meringankan beban keluarga mereka.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading MUIP Serah Bantuan Wang Zakat Kepada 500 Pelajar Miskin di UMP

Previous
« Prev Post

No comments: