JOHOR BAHRU: Sekolah Menengah Vokasional (SMV) Ekonomi Rumah Tangga (ERT) Azizah, di sini yang membuka spa kecantikan dikendalikan pelajarnya sejak setahun lalu, mampu menjana keuntungan sehingga RM5,000 sebulan.
Sebuah rumah guru terbiar di kawasan SMV-ERT Azizah, di Jalan Datin Halimah itu, diubah suai dengan kos kira-kira RM100,000 selepas mendapat kelulusan Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional bagi membolehkan Spa Puteri Azizah beroperasi.
Sejak tempoh itu, pusat kecantikan itu berkembang hingga mempunyai pelanggan tetap termasuk dari negara jiran kerana kedudukannya yang mudah dikunjungi, serta reka bentuk kontemporari.
Spa Puteri Azizah yang menerima kira-kira 10 pelanggan setiap hari menyediakan perkhidmatan pada harga RM71 hingga RM256 bagi satu sesi bergantung kepada pakej pilihan merangkumi rawatan seluruh badan, khidmat sauna, jakuzi dan mandian aromaterapi.
Ketua Panitia Kursus Juru Kecantikan sekolah, Rohana Mohd Salleh, berkata spa itu bukan saja mampu menjana keuntungan sehingga RM5,000 sebulan, malah 14 penuntut yang mengikuti Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) berupaya mendalami ilmu pengetahuan dan kemahiran masing-masing.
“Pada mulanya, penuntut dicadangkan mengikuti kelas dalam bengkel seperti proses pembelajaran biasa, tetapi Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional berpendapat sekolah wajar menyediakan kemudahan bersesuaian dan hanya SMV-ERT Azizah mempunyai kemudahan ini.
“Justeru, peluang itu dimanfaatkan kerana kita komited mahu menawarkan perkhidmatan menyeluruh kepada masyarakat setempat supaya pelajar mendapat pendedahan awal, selain bersedia melangkah ke alam sebenar pekerjaan,” katanya.
Rohana berkata, pengambilan pelajar dua tahun sekali dan penyertaan dibuka kepada pelajar perempuan yang mendapat keputusan kurang memberangsang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
“Ini adalah program ‘sekolah perusahaan’ bertujuan memberi galakan kepada pelajar bergiat dalam perniagaan secara komersial dan menjadi juru kecantikan bermula dari bangku sekolah supaya mampu meningkatkan ketrampilan diri dan daya kreativiti,” katanya.
Pelajar, Ummi Raihah Abu Bakar, 17, berkata dorongan ibu bapa membantunya membina keyakinan dan potensi diri walaupun berbekalkan keputusan kurang memberangsangkan dalam PMR dan mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
“Selama ini, saya suka menyolek wajah kakak dan ibu serta mendapat kepuasan melihat hasil kerja yang cantik. Saya bercadang melanjutkan pengajian sebelum membuka perniagaan sendiri,” katanya.
Bagi Nor Azira Mohd Jamil, 17, pula hasil pembelajaran dua tahun itu membolehkan dia memulakan kerja sampingan mengambil upah menyolek rakan dan saudara mara yang mahu bertunang.
“Mulanya saya hanya mempromosikan mekap untuk saudara mara ketika cuti sekolah tetapi apabila menerima sambutan menggalakkan, saya mula fikir mene-ruskan secara serius kerana hasilnya yang menguntungkan apabila mampu meraih antara RM50 hingga RM100 untuk setiap pelanggan,” katanya.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkhidmatan yang ditawarkan spa itu dengan melayari laman web www.myazizah2u.com atau hubungi Rohana menerusi 012-7827058 atau 07-216 0203.
- BH
No comments:
Post a Comment