MOHAMED Khaled Nordin (tengah) melihat hasil kerja kanak-kanak sempena perasmian Tabika Kemas di Taman Rinting, Pasir Gudang semalam.
JOHOR BAHRU 19 Feb. - Kerajaan sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, khususnya dalam bidang pendidikan bagi membantu melahirkan modal insan berkualiti.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, usaha kerajaan memberikan ilmu pendidikan kepada masyarakat juga menepati syariah Islam yang sentiasa memberikan penekanan terhadap kepentingan menimba ilmu.
Beliau berkata, peluang pendidikan yang disediakan meliputi semua peringkat, termasuk pendidikan awal sehingga ke peringkat pengajian tinggi dan ia terbuka kepada semua.
"Kerajaan sentiasa memberi penekanan terhadap kepentingan ilmu dan peluang pendidikan ini terbuka kepada semua masyarakat tanpa mengira sokongan parti politik kerana ia berlandaskan kepada syariah Islam. Kalau kita hendak mengenali Allah, kita perlu ada ilmu bagi mengelakkan penyelewengan.
"Peluang pendidikan ini disediakan sejak dari peringkat prasekolah dan ia terpulang kepada kita sama ada ingin merebut peluang itu atau tidak," katanya ketika berucap semasa merasmikan Tabika Kemas Taman Rinting, Pasir Gudang, dekat sini hari ini.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk M. Munusamy.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata, proses transformasi yang sedang dilakukan kerajaan tidak terhad kepada sesebuah bidang sahaja sebaliknya merangkumi semua perkara termasuk pendidikan.
Beliau berkata, kerajaan bukan sahaja ingin menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi tetapi pada masa sama ingin mewujudkan kesepaduan dalam kalangan masyarakat.
- Utusan

No comments:
Post a Comment