Powered by Blogger.

Tuesday, February 14, 2012

Warga SK Dalam Ru Gotong-Royong Bangun Taman Herba

  NR       Tuesday, February 14, 2012

WARGA SK Dalam Ru melakukan gotong-royong membersihkan lengkuas yang dituai di taman herba sekolah tersebut.

PASIR PUTEH 13 Feb. - Guru-guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Ru dekat sini membangunkan taman herba terutama lengkuas untuk menambah sumber pendapatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan yang aktif membantu warga guru melaksanakan pelbagai program kecemerlangan akademik murid-murid.

Penolong Kanan Kokurikulum, Wan Mohd. Nazari Wan Nawang berkata, usaha sukarela guru-guru terbabit juga adalah untuk membekalkan bahan bantu belajar terutama bagi mata pelajaran Sains yang berkaitan dengan tumbuh-tumbuhan di samping memberi pengetahuan umum kepada murid.

"Guru, murid dan pekerja sekolah bergotong-royong membersihkan kawasan taman herba ini pada waktu lapang kerana ia mampu menjana pendapatan sampingan.

"Selain keperluan dalam proses pendidikan yang memerlukan tumbuhan sebenar sebagai alat bantu belajar, murid juga didedahkan dengan kaedah penanaman pokok serta teknik mengindahkan taman selain memupuk semangat kerjasama membangunkan pelbagai projek yang dilaksanakan di peringkat sekolah," katanya di sini hari ini.

Wan Mohd. Nazari berkata, lengkuas lazimnya digunakan sebagai rempah ratus dalam masakan, tetapi sebenarnya ia mempunyai nilai komersial memandangkan permintaan yang amat tinggi dalam dunia perubatan herba pada masa ini.

"Penanamannya di sekolah hanya sekadar aktiviti sampingan yang tidak bertujuan komersial, tetapi pada masa sama keperluannya dalam dunia perubatan herba dan permintaan seluruh dunia wajar didedahkan sebagai tanaman yang berpotensi dalam sektor pertanian komersial," katanya.

Menurutnya, di India dan Indochina, tumbuhan itu digunakan untuk merawat dispepsia (ketakcernaan) dan bronkitis manakala di China biji benih lengkuas digunakan untuk merawat kolik iaitu sakit perut yang memulas, cirit-birit dan muntah.

"Di Jawa ia digunakan untuk merawat limpa yang bengkak serta untuk memperbaiki sistem pencernaan dan di Malaysia pula ia digunakan sebagai salah satu bahan utama tonik herba selepas bersalin selain sebagai salap untuk merawat sakit sendi dan ligamen," katanya.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading Warga SK Dalam Ru Gotong-Royong Bangun Taman Herba

Previous
« Prev Post

No comments: