KEPALA BATAS 6 Mac - Allianze University College of Medical Sciences (AUCMS) menjadi institusi pengajian tinggi pertama di negara ini yang menggunakan sepenuhnya teknologi pengenalpasti berfrekuensi radio (Radio Frequency Identification-RFID) bagi memudahkan urusan seharian kakitangan dan pelajar universiti itu.
Ia adalah hasil kerjasama strategik AUCMS dengan syarikat pembekal Pentamaster Solutions Sdn. Bhd. (Pentamaster) yang ditandatangani antara Presiden AUCMS, Datuk Dr. Zainuddin Md. Wazir dan Pengerusi Eksekutif Pentamaster, Dr. Chuah Choon Bin baru-baru ini.
Sistem RFID akan mengambil masa setahun untuk dibangunkan dalam tiga peringkat dan menelan belanja RM3 juta yang memberi manfaat bukan sahaja kepada kampus induk AUCMS di Kepala Batas tetapi juga kampus cawangan di Kangar, Kuala Lumpur dan Kulim.
Menurut Zainuddin, empat bidang utama yang diberi penekanan melalui penggunaan RFID adalah sistem kehadiran dan keselamatan yang mana ia akan merekodkan urusan kedatangan kakitangan ke tempat kerja serta pelajar ke kuliah.
"Setiap pelajar harus mencatatkan 80 peratus kedatangan kuliah untuk membolehkan mereka menduduki peperiksaan dan melalui sistem ini pensyarah dapat membuat penilaian rekod kehadiran mereka secara terus dan tepat.
"Kita juga dapat mengesan lokasi setiap pelajar sekiranya mereka tidak hadir ke kuliah serta lokasi kakitangan di seluruh kampus ini," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian itu baru-baru ini.
Tambah Zainuddin, kawasan lain yang menggunakan RFID adalah sistem pengurusan aset yang mana pergerakan setiap aset serta peralatan milik AUCMS dapat dikesan di kampus terbabit serta memantau pinjaman serta pemulangan aset terbabit.
Selain itu, ia juga digunakan bagi sistem pinjaman buku di perpustakaan yang mana ia akan menjimatkan masa serta memudahkan proses meminjam dan memulangkan buku termasuk menjimatkan kos tenaga pekerja.
"Lebih unik sistem RFID menjadikan kampus AUCMS sebagai kampus tanpa tunai dan ia juga digunakan dalam sistem bayaran termasuk di kafeteria dan kedai buku.
"Pelajar atau kakitangan boleh membuat bayaran tanpa tunai menerusi penggunaan kad pintar yang dilengkapi sistem ini.
"Saya yakin ia adalah pelaburan terbaik kerana ia menjadikan tugas semua pihak dapat diuruskan dengan lebih efisien, menjimatkan tenaga dan sesuatu keputusan dapat dicapai dengan pantas," katanya.
Menurut Zainuddin, melalui sistem tersebut, ia menjadikan AUCMS sebagai universiti pertama mempunyai teknologi terkini bagi membolehkannya terus kekal dalam persaingan yang kompetitif.
"Sejajar dengan hasrat menjadikan AUCMS sebagai universiti bertaraf antarabangsa, pasti penggunaan sistem moden dan canggih itu akan memberi suasana kondusif serta teratur kepada pelajarnya," katanya.
- Utusan
No comments:
Post a Comment