Panel lima hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif menolak rayuan Liu Bing, 29, dan Li Meng, 30, terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menambah jumlah hukuman penjara mereka.
Hakim Raus yang bersidang bersama Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum serta Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Hashim Yusoff, Tan Sri Abdull Hamid Embong dan Datuk Ahmad Maarop, memutuskan hukuman Mahkamah Rayuan terhadap kedua-dua tertuduh adalah tidak keterlaluan.
Pada 22 Ogos tahun lalu, Mahkamah Rayuan memerintahkan Liu Bing dan Li Meng masing-masing dipenjara enam tahun dan denda RM100,000 atau penjara setahun kerana mengurung Tan Choo Mia, 19, dan penjara 13 tahun kerana menyebabkan remaja lelaki itu mati.
Kedua-dua tertuduh yang juga pelajar kolej swasta diperintah menjalani hukuman itu secara berasingan mulai tarikh mereka ditangkap iaitu pada 20 dan 24 September 2006.
Mereka juga menjalani hukuman penjara tambahan selama setahun selepas gagal membayar denda.
Pada asalnya, Liu Bing dan Li Meng yang didakwa menculik dan membunuh Tan, mengaku tidak bersalah.
Bagaimanapun, mereka menukar pengakuan kepada bersalah selepas pendakwaan mengemukakan pertuduhan lebih ringan iaitu mengurung dan menyebabkan kematian mangsa. — Bernama
No comments:
Post a Comment