KOTA KINABALU: Dua pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di sini dicekup selepas dipercayai terlibat dalam tiga kes curi motosikal di tiga tempat berasingan baru-baru ini.
Timbalan Ketua Polis Bandaraya, Superintendan M. Chandra berkata kedua-dua pelajar berumur 17 tahun itu dicekup minggu lepas ketika masing-masing menggunakan motosikal yang dicuri mereka di sekitar kawasan Tanjung Aru dekat sini.
Selain dua motosikal terbabit, polis turut merampas sebuah lagi motosikal curi yang disembunyikan oleh mereka di kawasan semak berhampiran Arkib Negeri di sini.
“Hasil daripada siasatan yang dijalankan terhadap suspek, mereka mengaku telah mencuri tiga buah motosikal sebelum ini termasuk sebuah motosikal di kawasan Damai, Luyang pada Oktober tahun lepas.
“Dua lagi motosikal yang dicuri oleh suspek ialah pada 17 Februari lepas di kawasan Masjid Negeri di Sembulan dan kawasan berhampiran masjid berkenaan di mana ketika itu orang ramai yang beragama Islam sedang menunaikan sembahyang Jumaat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Karamunsing di sini kelmarin.
Sehubungan itu, Chandra menasihatkan kepada orang ramai khususnya para ibu bapa agar mengambl perhatian terhadap perkara yang dilakukan oleh anak-anak mereka.
“Jangan biarkan anak-anak kita melakukan sesuatu perkara yang mungkin boleh menjurus kepada jenayah, sekiranya kita dapati anak-anak kita melakukan perkara yang meragukan termasuklah secara tiba-tiba memiliki motosikal, maklumkan kepada kami dan kami sedia membantu termasuklah menjalankan siasatan,” katanya.
Kedua-dua suspek dan tiga motosikal curi yang bernilai RM10,500 terbabit kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
- Utusan Borneo
No comments:
Post a Comment