PORT DICKSON – Lebih 20,000 pengunjung dijangka membanjiri Karnival ”Jom Masuk U” Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) zon tujuh yang berlangsung di sini selama dua hari, bermula hari ini (3 Mac)
Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Datuk Dr Muhamad Muda berkata, penganjuran karnival yang kali ini dikelola bersama oleh KPT dan USIM, disertai lebih 20 institusi pengajian tinggi (IPT) selain politeknik dan kolej komuniti.
“Terdapat lebih 120 gerai pameran dari lebih 20 IPTA, IPTS dan agensi-agensi lain mengambil bahagian.
“Sambutannya setakat ini amat menggalakkan, di mana pagi tadi sahaja apabila dibuka pada pukul 9 orang ramai terutama pelajar sekolah sudah memenuhi kawasan karnival,” katanya ketika ditemui di karnival itu hari ini.
Muhamad berkata, selain maklumat mengenai kemasukan ke IPT, pengunjung juga berpeluang mendapatkan maklumat berkaitan seperti pinjaman kewangan dan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran.
Selepas ini, karnival akan ke Sarawak dari 10 hingga 11 Mac, Perak (17-18 Mac) dan Johor (24-25 Mac) sebelum lokasi terakhir di Selangor pada 31 Mac-1 April. – BERNAMA, 3 Mac
No comments:
Post a Comment