IPOH 21 Mac - Kecacatan pendengaran yang dialami sejak lahir tidak menghalang Kang Kia Chun, 18, mencatat keputusan cemerlang dengan memperoleh 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 yang diumumkan hari ini.
Pelajar lelaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Muda Musa, Teluk Intan itu membuktikan, dia juga mampu untuk mencipta kejayaan seperti rakan-rakan normal lain asalkan ada kesungguhan dan kegigihan.
Kejayaan Kia Chun lebih manis apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Cemerlang Kategori Calon Pendidikan Khas Negeri Perak.
Kia Chun mencatat A+ bagi subjek Matematik dan Prinsip Akaun; gred A bagi Bahasa Melayu, Sains, Pendidikan Seni dan Matematik Tambahan serta A- bagi subjek Malaysian University English Test (MUET), Bahasa Inggeris dan Sejarah.
"Saya sedar kekurangan yang ada, jadi saya kena berusaha lebih gigih berbanding orang lain. Selain mengulang kaji pelajaran antara tiga hingga lima jam setiap hari, saya selalu melayari internet untuk mencari latihan bersesuaian.
"Saya ingin buktikan orang kurang upaya (OKU) juga boleh berjaya dan saya sangat gembira kerana kerja keras yang saya lakukan selama ini berbaloi dengan pencapaian yang diperoleh," katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2011 di sini.
Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu, sokongan serta tunjuk ajar guru yang tidak pernah jemu juga membuatkan dia yakin dan bersemangat untuk belajar.
"Ayah hanya bekerja sebagai pemandu lori manakala ibu pula suri rumah sepenuh masa. Namun, mereka tidak pernah mengabaikan pendidikan anak-anak, malah setiap hari ibu menghantar saya menghadiri kelas tambahan.
"Kesusahan ayah mencari wang untuk saya belajar benar-benar menyentuh hati dan membakar semangat saya untuk mencatat keputusan cemerlang. Saya mahu buat dia bangga," katanya yang bercita-cita menjadi seorang guru.
- Utusan
No comments:
Post a Comment