Powered by Blogger.

Thursday, March 22, 2012

Kesempitan Hidup, Pelajar Terpaksa Berhenti Sekolah Ganti Bapa

  NR       Thursday, March 22, 2012
NOR AIN (kiri) terpaksa bekerja bagi membantu ibunya, Azrina (dua dari kiri) menyara keluarga di Bukit Mertajam kelmarin. 

BUKIT MERTAJAM, 20 Mac (Bernama) -- Akibat kesempitan hidup dan simpati dengan kesusahan ibu yang terpaksa bekerja menyara keluarga menggantikan ayah yang terlantar sakit, Nor Ain Ahmad Nasir, 17, mengambil keputusan untuk berhenti sekolah walaupun sedar pelajaran itu amat penting.

Beliau menyimpan cita-cita menjadi seorang doktor tetap berharap suatu hari nanti dapat menyambung kembali persekolahannya kerana dengan memiliki pendidikan sahaja nasib seseorang itu akan berubah.

"Kalau boleh memang nak sambung sekolah tapi kesian mak dan hidup kami sekeluarga susah, jadi saya buat keputusan  berhenti sekolah," katanya kepada Bernama.

Dalam nada sebak, Nor Ain anak sulung dari lima beradik, berkata dia juga ada kalanya terpaksa keluar bekerja di gerai makan tempat ibunya Azrina Jali, 36, bekerja bagi membantu  menampung perbelanjaan harian keluarganya.

"Saya kerja angkat pinggan atau ambil pesanan, tolong di gerai makan, kadang-kadang mereka bayar RM10 atau RM15, bayaran tidak menentu. Saya kerja sebab saya  kesiankan mak," katanya yang tinggal di Taman Seri Pauh di sini.

Selain bekerja di gerai makan, Nor Ain, bekas pelajar Sekolah Menengah  Kebangsaan Seri Pauh, juga terpaksa menjaga adiknya Nur Syuhadah, 8, yang menghidap Sindrom Down, serta mengambil adik bongsunya Puteri Zhullaikha, 6, pulang dari tadika.

Bapanya Ahmad Nasir Abdul Rahim, 43, disahkan menghidap sakit jantung yang kronik sejak enam  tahun lepas dan bermula pada 2011 dia sering berulang alik ke hospital untuk mendapatkan  rawatan, dan kemudiannya mengambil keputusan berhenti kerja.

Ahmad Nasir kini dirawat di Hospital Pulau Pinang, dan telah tiga kali mendapat rawatan di Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur.

Azrina pula berkata, selain terpaksa membayar ansuran rumah sebanyak RM260  sebulan dengan pendapatan yang tidak menentu, beliau juga terpaksa menanggung perbelanjaan  persekolahan anak-anak selain kos perubatan suaminya.

"Gaji saya RM30 sehari, kerja dari pukul 8 pagi hingga 5 petang, kerja memang tidak  ada cuti, tetapi kalau suami perlu dapatkan rawatan saya terpaksa ambil cuti. Kos perubatan  di hospital kerajaan tidak mahal tetapi kos pengangkutan untuk ke hospital itu yang mahal,"  katanya yang terpaksa bekerja selepas suaminya berhenti kerja.

Azrina yang tidak mempunyai kenderaan sendiri perlu menyewa kereta setiap kali mahu  membawa suaminya mendapatkan rawatan di hospital.

Disebabkan kos pengangkutan yang  mahal jugalah rawatan di IJN terpaksa dihentikan.

"Doktor ada beritahu suami saya perlu makan sejenis ubat yang berharga RM4 sebiji,  ia perlu dibeli sendiri, ubat itu terlalu mahal kerana sehari perlu ambil tiga kali dan kami tidak mampu," katanya.

Azrina berkata beliau terharu dengan pengorbanan yang dilakukan oleh Nur  Ain kerana sanggup berhenti sekolah semata-mata mahu meringankan bebannya serta mengambil alih tugas menjaga adik-adik.

"Bukan saya suruh Ain berhenti sekolah tetapi dia yang buat keputusan kerana tidak  sampai hati asyik minta duit untuk menampung kos perbelanjaan sekolah, saya terharu dengan  pengorbannya dan berharap dia dapat sambung semula sekolah dan capai cita-citanya," katanya.

Azrina berkata dua lagi adik Nor Ain iaitu Natasha Nabiha, 13, dan Nur Fatin Adilah,  12, masih bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pauh dan Sekolah Kebangsaan Seri Pauh, dan berharap mereka tidak tercicir dan dapat meneruskan persekolahan.

Beliau juga berharap permohonannya untuk mendapatkan bantuan daripadaJabatan  Kebajikan Masyarakat (JKM) diluluskan bagi meringkan beban yang ditanggungnya.

Mana-mana  pihak yang ingin menghulurkan bantuan boleh berhubung terus dengan Azrina di talian 013- 4507270.

Anggota Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang kawasan Seberang Jaya Datuk Arif Shah  Omar Shah yang dihubungi Bernama berkata pihaknya akan sedaya upaya menghulurkan bantuan  kepada keluarga Azrina.

"Saya akan menghubunginya hari ini bagi mendapatkan maklumat lanjut serta bentuk bantuan yang diperlukan," katanya.  -- BERNAMA
logoblog

Thanks for reading Kesempitan Hidup, Pelajar Terpaksa Berhenti Sekolah Ganti Bapa

Previous
« Prev Post

No comments: