Powered by Blogger.

Thursday, March 15, 2012

Akademi Penerbangan KIST (KISTAA) Tawar Latihan Juruterbang Pesawat Komersial

  NR       Thursday, March 15, 2012
Kumpulan pelatih Akademi Penerbangan KIST bersama pesawat di lokasi latihan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU 13 Mac - Akademi Penerbangan KIST (KISTAA) yang menawarkan latihan bagi melahirkan juruterbang pesawat komersial akan melakukan pengambilan terbaharu 2012 mulai April ini.

Tahun ini KISTAA turut menyasarkan pengambilan pelajar dari luar negara bagi melebarkan sayap operasinya dengan mengorak langkah mengadakan perbincangan dengan pihak tertentu di Arab Saudi, Nigeria dan Korea Selatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zaidi Yusof memberitahu, tumpuan juga ke arah membolehkan pengambilan pelajar perintis dari Indonesia, Brunei, Iran, Pakistan dan Algeria.

''Sehubungan itu, kami dalam proses pelantikan ejen-ejen pemasaran di negara berkenaan.

''Kita menggunakan silibus yang diiktiraf oleh Eropah dan lesen yang boleh diterima penerbangan dunia," ujarnya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Berpengkalan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini, KISTAA yang merupakan anak syarikat KIST Holdings mula beroperasi pada 2009 dengan mengambil kumpulan pertama seramai sembilan juruterbang kadet pada Januari 2010.

Ia disusuli dengan pengambilan 10 lagi pada April tahun sama dan mereka mengikuti latihan dalam tempoh 18 hingga 20 bulan.

''Dengan kadar yuran setimpal termasuk pakej makanan, penginapan dan pengangkutan, di samping pesawat baru dan jurulatih berpengalaman, KISTAA mampu menawarkan daya tarikan lebih baik," katanya.

Zaidi berkata, sejajar dengan jangkaan pertambahan bilangan pelajar, KISTAA yang kini menggunakan lima pesawat merancang untuk menambah enam lagi pesawat tahun ini dan keseluruhannya bakal mencecah 30 pesawat dalam tempoh lima tahun lagi.

Bagi memperkukuhkan peranannya, KISTAA mengadakan memorandum persefahaman (MoU) dengan Royal Melbourne Institute of Technology (RMIT) pada 22 Februari lalu.

''KISTAA merupakan satu-satunya pusat latihan penerbangan di negara ini yang diberi hak eksklusif bagi mengendalikan Peperiksaan Bahasa Inggeris Bagi Penerbangan (RELTA).

''Semua juruterbang diwajibkan lulus peperiksaan penguasaan bahasa Inggeris sebelum melayakkan mereka memperoleh atau menyambung lesen penerbangan yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerbangan Awam (DCA)," katanya.

Katanya, KISTAA sedang digerakkan untuk muncul sebagai pusat sehenti bagi pelbagai kursus latihan perkhidmatan penerbangan termasuk, kejuruteraan penyelenggaraan pesawat, pengurusan trafik udara dan latihan pengurusan operasi penerbangan.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading Akademi Penerbangan KIST (KISTAA) Tawar Latihan Juruterbang Pesawat Komersial

Previous
« Prev Post

No comments: